Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Medan – Delegasi Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia (USM) melaksanakan program “Train to Humanity: Goes Global” di Sekolah Luar Biasa (SLB) Negeri Pembina dengan membawa misi kemanusiaan untuk memperkenalkan kemahiran asas teknologi digital kepada murid berkeperluan khas.

Delegasi dari Malaysia bergambar bersama-sama pihak pengurusan SLB Negeri Pembina.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, fokus diberikan kepada murid yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, autisme, hiperaktif dan pelbagai cabaran perkembangan lain.

Bagi merealisasikan matlamat itu, sebanyak 30 murid SLB Negeri Pembina menyertai bengkel aplikasi Canva yang memberikan latihan dalam menghasilkan poster dan brosur ringkas.

Untuk memastikan pengajaran lebih berkesan, murid yang mengalami masalah pendengaran turut dibahagikan kepada kumpulan kecil sebelum dibimbing fasilitator MPDR dengan lebih dekat.
Pelajar berkeperluan khas SLB Negeri Pembina dibimbing oleh fasilitator MPDR ketika mengendalikan aplikasi Canva untuk mereka bentuk poster.

MPDR turut menyerahkan “kit English” yang direka khas kepada pihak sekolah sebagai bahan bantu mengajar yang boleh dimanfaatkan untuk sesi pembelajaran seterusnya.

Dari kanan: YBrs. Dr. Lim Chee Ann, Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim dan YBrs. Dr. Wan Norhaniza Wan Hasan melawat perpustakaan SLB Negeri Pembina.

Guru Besar SLB Negeri Pembina, Pak Mardi Pandjaitan menzahirkan rasa bangga atas kesudian rombongan dari Malaysia.

“Sekolah ini bukan sekadar ruang belajar, malah menjadi wadah inspirasi yang membuktikan bahawa anak-anak istimewa mampu mencetuskan inspirasi yang luar biasa,” katanya.

Wakil MDPR, Daniel anak Dennis berasa terharu apabila melihat semangat murid berkeperluan khas yang tetap gigih menimba ilmu walaupun berdepan dengan kekangan.

Nada yang sama diungkapkan oleh Nur Aliatul Aina Mohd Sihar yang menyifatkan program ini sebagai pengalaman berharga yang mengajarnya bahawa pendidikan adalah untuk menyampaikan kasih sayang dan memberikan ruang kepada semua pihak untuk berkembang.

SLB Negeri Pembina menjadi saksi terjalinnya ikatan persahabatan rentas sempadan apabila MPDR membuktikan bahawa misi kemanusiaan tidak hanya terhad dalam kampus, sebaliknya mampu membawa harapan dan senyuman kepada anak-anak istimewa di luar negara.

“Semoga benih kasih yang ditanam pada hari ini tumbuh menjadi pohon persahabatan yang terus memberikan berkat kepada anak-anak istimewa di Indonesia dan di mana-mana sahaja,” ujar Pak Mardi Pandjaitan mengakhiri sesi pertemuan berkenaan.

Turut hadir ialah Penggawa Desasiswa Restu, USM, YBrs. Dr. Lim Chee Ann, rakan kolaborasi akademik dari Universitas Terbuka, Yasir Riadi serta perwakilan Universitas Panca Budi Medan yang bersama-sama membuka ruang kerjasama dalam bidang pendidikan khas dan inklusi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi