Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 21:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Gandingan dua orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, iaitu Mohamad Afiq Shaime dan Jude Mittren Joaching Thayalan, masing-masing berusia 14 tahun telah berjaya meraih Gobi Innovator Award, anugerah khas Piala JAZRO 2025 peringkat kebangsaan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Pasukan ini dinobatkan sebagai pemenang selepas menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam kategori Byte Droid apabila berjaya mengendalikan Jazrobot dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan baharu, Ardublock bagi menyelesaikan semua cabaran di litar pertandingan.

Lebih membanggakan, walaupun baru pertama kali mengenali Jazrobot, kedua-duanya mampu menerangkan fungsi setiap kod yang digunakan tanpa bantuan guru dengan jelas.

Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO, YBrs. Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa apabila pelajar diberikan akses kepada platform dan bimbingan yang betul, mereka mampu mencapai sesuatu yang hebat.

“Pencapaian kedua-dua peserta ini menyerlahkan kreativiti serta daya ketahanan dalam menguasai bahasa pengaturcaraan baharu,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Puan Siti Sarah Hamin selaku guru pengiring menyatakan bahawa meskipun tidak mencatat masa terpantas, kedua-dua orang pelajar itu telah berjaya menamatkan misi dalam masa yang ditetapkan hasil latihan intensif bersama-sama guru.

“Kini, pihak sekolah berhasrat untuk membuka ruang khas robotik di sekolah agar lebih banyak pelajar berpeluang mempelajari serta menyertai pertandingan seumpama ini,” katanya.

Piala JAZRO 2025 yang pertama kali dianjurkan telah berlangsung selama dua bulan dan merentasi enam zon utama negara, iaitu zon Sabah, zon Sarawak, zon pantai timur, zon utara, zon selatan dan zon tengah.

Program ini telah melibatkan penyertaan lebih daripada 1200 orang pelajar daripada 143 sekolah dan daripada jumlah itu, sebanyak 319 orang pelajar daripada lebih 70 sekolah mara ke peringkat akhir kebangsaan di Rekascape, Cyberjaya.

Turut menarik perhatian ialah penyertaan sebanyak 87 sekolah luar bandar yang mewakili 61.5 peratus daripada keseluruhan penyertaan turut mengambil bahagian, sekali gus menjadikan Piala JAZRO 2025 sebagai satu langkah penting dalam usaha merapatkan jurang pendidikan STEM antara pelajar dari bandar dengan luar bandar di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi