Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Selepas berlangsung selama dua bulan di enam pusingan wilayah, Piala JAZRO (JAZRO Cup) 2025 anjuran JAZRO Robotic Academy melabuhkan tirainya dengan menghimpunkan 319 orang pelajar daripada lebih 70 sekolah ke peringkat akhir kebangsaan.
Secara keseluruhan, edisi sulung ini telah disertai oleh 1200 orang pelajar dari 143 sekolah, termasuklah 87 sekolah luar bandar yang mewakili 61.5 peratus penyertaan, sekali gus menjadikan JAZRO Cup sebagai platform penting dalam merapatkan jurang antara pelajar dari bandar dengan luar bandar dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pertandingan ini melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah dari zon Sabah, zon Sarawak, zon pantai timur, zon utara, zon selatan dan zon tengah yang bertanding dalam kategori pengekodan dan tanpa kod membuktikan bahawa peluang STEM yang setara mampu melahirkan bakat teknologi tanpa mengira latar belakang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO Robotic Academy, YBrs. Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, JAZRO Cup menjadi platform peluang saksama kerana apabila pelajar dari luar bandar dan bandar berada pada satu pentas yang sama, bersaing dengan bersemangat dan menggunakan kreativiti yang setara.
“Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita sedang membina generasi masa hadapan dalam ekosistem berinovasi Malaysia,” kata beliau lagi.
Antara sorotan utama JAZRO Cup peringkat akhir kebangsaan termasuklah anugerah khas Coding Genius Award yang dimenangi oleh Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz al-Quran Hira’, Kuala Selangor kerana menunjukkan kemahiran pengaturcaraan yang cemerlang, mampu menyelesaikan masalah dengan cekap serta menguasai aspek pengekodan ketika pertandingan berlangsung.
Sementara itu, Gobi Innovator Award pula disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur atas kebolehan para peserta memprogramkan robot kompleks dengan berkesan dan berupaya menerangkan dengan jelas tujuan di sebalik setiap keputusan pengekodan.
Kedua-dua pasukan tersebut telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Selain itu, pengiktirafan lain turut diberikan dalam bentuk hadiah utama bagi setiap kategori pertandingan yang merangkumi Roboblitz, Blazebot, Robot Combat, Byte Droid, Storm Code dan Game of Drone Mission.
Dengan adanya sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama rakan penganjur, termasuklah Muslim Pro/Bitsmedia, Spritzer, MyDigital, Petrosains dan Yayasan MR D.I.Y, JAZRO Cup telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai gerakan nasional untuk menginspirasi serta membina generasi peneraju teknologi masa hadapan negara.