Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Cawangan Perlis mengungguli pelbagai kategori utama dalam Majlis Anugerah Semarak Sanjung 2024 yang berlangsung di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Majlis ini menjadi platform pengiktirafan kepada sumbangan akademik, penyelidikan, penerbitan, inovasi dan pelibatan komuniti yang memberikan impak kepada masyarakat serta memacu pembangunan ilmu dan teknologi.

Ketua Pusat Pengajian FSG, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim mengucapkan tahniah kepada warga fakulti yang berjaya meraih kejayaan dalam pelbagai kategori dalam penyelidikan, penerbitan, inovasi dan program komuniti.
“Kejayaan ini membuktikan FSG bukan sahaja kukuh dalam bidang akademik, malah cemerlang dalam menerjemahkan ilmu sains dan teknologi menjadi sesuatu yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi yang turut menekankan peranan fakulti sebagai jambatan antara makmal dengan kehidupan sebenar.

Penerima tiga anugerah utama, Gs Sharir Aizat Kamaruddin menegaskan bahawa kejayaan seperti ini adalah bukti bahawa sains dan teknologi tidak boleh terpisah daripada masyarakat.
“Bukan sekadar tentang eksperimen di makmal atau persamaan dalam kertas kajian, namun penemuan dalam sains dan teknologi perlu diterjemahkan dalam bahasa yang difahami orang ramai, sama ada melalui penulisan kreatif atau inovasi,” kata beliau.
Penulisan kreatif dalam sains membolehkan pengetahuan yang rumit disampaikan dengan cara yang menghubungkan hati dan minda. Masyarakat dan inovasi pula menjadi bukti bahawa hasil penyelidikan boleh diubah menjadi produk atau penyelesaian yang memberi impak nyata kepada kehidupan.
Beliau menambah, inovasi dan komunikasi sains ialah dua tonggak yang saling melengkapi dalam membina ekosistem pengetahuan yang lestari.
“Jika inovasi ialah sayap yang mengangkat penyelidikan ke tahap yang lebih tinggi, maka penulisan kreatif merupakan suara yang menyampaikan maksudnya kepada dunia,” kata beliau.
Majlis bertemakan “Shades of Blue” ini menghimpunkan penyelidik dan penulis prolifik dalam usaha meletakkan nama UiTM pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kejayaan ini mengukuhkan reputasi FSG sebagai fakulti peneraju yang menghubungkan teori dengan aplikasi, makmal dengan masyarakat dan penyelidikan dengan pembangunan negara selaras dengan aspirasi UiTM sebagai universiti bertaraf dunia.
Majlis turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh; Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail; ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri, pentadbir akademik dan tetamu jemputan.