Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi terus diperkasakan melalui penganjuran Bengkel Penulisan Buku di Kota Seriemas, Nilai anjuran bersama Pusat Penyelidikan, KPJ Healthcare University (KPJU).

Bengkel yang berlangsung secara hibrid ini disertai oleh pensyarah dan pelajar daripada pelbagai program seperti program perubatan, farmasi, kejururawatan, teknologi penjagaan kesihatan dan pengurusan penjagaan kesihatan.

Tujuan utama penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk membimbing peserta menghasilkan karya penulisan, khususnya dalam bahasa Melayu yang berpotensi diterbitkan oleh DBP, sekali gus memastikan penyebaran ilmu kepada masyarakat dapat diperkukuh.

Dua orang penceramah dari Unit Sains dan Teknologi, Bahagian Buku Umum DBP, iaitu Encik Mohamad Ibrahim dan Puan Nik Azianna Khairudin telah diundang untuk memberikan ceramah serta membimbing para penulis dalam penyediaan manuskrip dan Kertas Cadangan Judul (KCJ).

Dari kanan: Puan Nik Azianna Khairudin dan Encik Mohamad Ibrahim selaku penceramah bagi Bengkel Penulisan Buku anjuran DBP–KPJU.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) KPJU, YBrs. Profesor Dr. Mohd. Azmani Sahar dalam ucapannya berkata, bengkel ini diadakan bagi memastikan peserta memperoleh ilmu penulisan yang membolehkan mereka menghasilkan buku sendiri, sama ada dalam bahasa Melayu ataupun dalam versi bahasa Inggeris untuk diterbitkan oleh DBP.

Menurut beliau,

Sebahagian besar KCJ dan manuskrip yang dibentangkan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan serta modul pengajaran dan pembelajaran di KPJU.

Bengkel ini mula dianjurkan pada tahun 2024 dan kini memasuki tahun kedua serta berpotensi untuk menjadi program tahunan antara KPJU dengan DBP.

Sebagai latar belakang, KPJU ialah institusi pengajian tinggi milik KPJ Healthcare Berhad, syarikat penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia yang ditubuhkan pada 1 April 1991 sebagai PNC International College of Nursing and Health Sciences.

KPJU juga telah lama aktif dalam pendidikan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dengan misi melahirkan ahli profesional kesihatan yang kompeten, berbelas kasihan dan berdaya saing pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi