Diterbitkan pada 8 Ogos 2025, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pasir Puteh – Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan atau Fish Site Identification System (FSI) menerusi Program Komuniti MADANI Nelayan Digital yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan telah membantu para nelayan meningkatkan hasil tangkapan ikan.

Program Komuniti MADANI Nelayan Digital telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Puan Ruziah Shafei.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan, selaras dengan inisiatif pembangunan masyarakat menerusi teknologi, program satelit MOSTI dilaksanakan melalui MYSA dengan kerjasama erat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Ujar MYSA,

Program ini bertujuan untuk menyebarluaskan dan memperkasakan penerimagunaan sistem FSI kepada komuniti nelayan, khususnya kumpulan sasar di Tok Bali.

Dalam kenyataan tersebut juga dinyatakan bahawa sistem FSI yang berteraskan teknologi angkasa itu merangkumi teknologi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi, sistem penentududukan sejagat serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

MOSTI berkata, imej satelit oseanografi yang diterima daripada satelit Soumi-NPP, satelit Aqua dan satelit Terra digunakan untuk mendapatkan maklumat suhu permukaan laut dan kepekatan klorofil dan seterusnya semua maklumat akan dianalisis bagi menentukan kawasan yang berpotensi tinggi untuk penangkapan ikan.

Katanya,

Sistem FSI menghasilkan analisis dengan ketepatan hingga 94 peratus dan penggunaan sistem ini telah membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan ikan sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus, sekali gus menjimatkan masa operasi serta mengurangkan kos bahan api bagi operasi atau perjalanan di laut.

Hingga kini, sistem FSI telah digunakan oleh 1257 vesel pukat jerut dan 751 vesel pukat hanyut yang telah memberikan manfaat kepada 30 161 orang nelayan di seluruh negara.

Berdasarkan jumlah tersebut, penggunaan sistem FSI di negeri Kelantan adalah sebanyak 190 vesel pukat jerut dan 13 vesel pukat hanyut, sekali gus memberikan manfaat kepada lebih 4000 orang nelayan, khususnya di daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Menurut MYSA, sejak pengoperasiannya pada tahun 2011, sistem FSI telah ditambah baik dengan beberapa penambahan modul baharu seperti modul penentuan lokasi tangkapan ikan Tuna (Modul PFZ Tuna) dan modul penentuan lokasi tangkapan ikan pesisir pantai (Modul PFZ Pesisir).

Katanya, Program Komuniti MADANI Nelayan Digital turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara MYSA dengan DOF, LKIM dan NEKMAT yang merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik yang telah bermula sejak tahun 2007.

Ujarnya,

Demi mengorak langkah ke hadapan, semua agensi yang terlibat bersetuju memperkukuh skop kerjasama meliputi pembangunan dan penyelidikan dan inovasi berteraskan teknologi angkasa dalam sektor perikanan, termasuklah pembangunan metodologi baharu serta pengumpulan data dan verifikasi lapangan.

Selain itu, skop kerjasama turut melibatkan pembangunan, pengoperasian, penyelenggaraan dan menaik taraf sistem aplikasi, dokumentasi, penerbitan kertas penyelidikan, latihan, pemindahan teknologi dan promosi teknologi.

Pembaharuan kerjasama ini mencerminkan komitmen semua agensi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui pemerkasaan penggunaan teknologi angkasa bagi pengurusan sumber perikanan yang lebih lestari dan berdaya tahan.

MYSA berkata, seiring dengan prinsip keMampanan, kesejAhteraan dan Daya cipta di bawah aspirasi membangun Malaysia MADANI, pengoperasian dan penggunaan sistem FSI dilihat dapat memberikan pelbagai manfaat ekonomi kepada nelayan melalui penjimatan kos operasi, peningkatan hasil tangkapan dan pengoptimuman tempoh menangkap ikan.

Kredit Foto: Facebook MYSA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi