Oleh Nimoiz T.Y
Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Pertandingan Cabaran BIM (BIM Challenge) 2025 anjuran Bahagian Kurikulum (BK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Kolej Komuniti Sabak Bernam melabuhkan tirainya dengan penuh bergaya apabila tiga peserta dinobatkan sebagai juara bagi kategori masing-masing.

Kategori Antarabangsa menjadi milik Muhammad Nathan Fathur Rahman Lubman dari Politeknik Negeri Sriwijaya (POLSRI), Indonesia yang mempamerkan kemahiran pemodelan BIM luar biasa sehingga menewaskan rakan senegara.

Bagi kategori Diploma atau Sijil pula, kemenangan disandang oleh Nurul Ain binti Rahmat dari Kolej Komuniti Sabak Bernam. Kemenangan ini adalah hasil ketelitian dan kreativiti tinggi dalam menghasilkan model BIM yang praktikal serta inovatif.

Kategori Ijazah Sarjana Muda pula menyaksikan kejayaan tuan rumah, iaitu Wan Amirrul Affruz bin Wan Azhar dari Politeknik Ungku Omar yang membuktikan kemampuan pelajar POLYCC bersaing pada peringkat tertinggi.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,000.00, sijil dan trofi sebagai pengiktirafan atas kejayaan cemerlang mereka menyiapkan tiga model utama iaitu senibina, struktur dan sistem perpaipan dalam masa enam jam sahaja.

Pertandingan yang menghimpunkan 45 peserta akhir dari pelbagai institusi tempatan dan antarabangsa ini mendapat sokongan strategik Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta rakan industri seperti myBIM Malaysia, JKR, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Nippon Paint, PASAK, Pertubuhan BIM Malaysia dan lain-lain.

Dalam ucapan penutup, Pengarah Bahagian Kurikulum JPPKK, YBrs. Dr. Zamzam bin Mohd Walid, berkata BIM Challenge 2025 adalah inisiatif utama yang selari dengan matlamat JPPKK dalam membentuk pelajar yang berdaya cipta, kreatif serta kritis, selaras dengan kehendak kemahiran abad ke-21.

Pertandingan ini turut menjadi medium pengukuhan kemahiran teknikal dalam bidang pemodelan maklumat pembinaan, selain mencetuskan idea baharu yang boleh dikembangkan kepada penyelesaian sebenar industri.

Pengarah Bahagian Kurikulum JPPKK, YBrs. Dr. Zamzam bin Mohd Walid ketika menyampaikan ucapan dalam Pertandingan Cabaran BIM (BIM Challenge) 2025.

“Program ini juga menggalakkan kolaborasi berimpak tinggi antara institusi pengajian tinggi, pemain industri, dan pihak antarabangsa. Malah, penganjuran ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk menonjolkan potensi dan daya saing mereka sama ada di peringkat kebangsaan mahupun global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PUO, YBrs. Dr. Hajah Salmi Che Meh dalam ucapannya berkata,

“BIM Challenge 2025 merupakan medan pembelajaran, perkongsian dan pencetus inspirasi bagi para pelajar dalam meneroka potensi teknologi Building Information Modelling (BIM) sebagai pemangkin pembinaan masa hadapan.

“Tema ‘Pioneering the Future of Smart Construction’ telah benar-benar dizahirkan melalui semangat, kesungguhan dan inovasi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program ini,” ujarnya lagi. 

BIM Challenge 2025 sekali lagi membuktikan peranan POLYCC sebagai pusat pengajaran, inovasi dan latihan yang berdaya saing dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, sekali gus memperkukuh kedudukan TVET Malaysia pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi