Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerak – Teknologi mesra alam, Aedestech Mosquito Home System (AMHS) yang dibangunkan oleh One Team Networks telah berjaya membuktikan keberkesanan kawalan vektor secara bersepadu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Daerah Tanjung Malim, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, komuniti setempat, syarikat One Team Networks dan rakan strategik telah mengadakan Program Keberkesanan Strategi Kawalan Vektor Bersepadu terhadap Populasi Vektor Denggi Menggunakan Produk MySTI yang telah dilaksanakan di Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim.
Menurut MOSTI,
Teknologi mesra alam AMHS yang dibangunkan di bawah Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) telah digunakan secara intensif selama 24 minggu, iaitu bermula pada Februari 2025 hingga Julai 2025.
Jelas MOSTI,
Hasil pemantauan melalui kaedah Ovitrap Index menunjukkan penurunan populasi nyamuk aedes secara signifikan, selari dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang dalam kenyataan yang sama berkata, kajian keberkesanan AMHS di bawah inisiatif MySTI membuktikan impak positif terhadap pengurangan populasi nyamuk aedes dan risiko jangkitan demam denggi.

Ujar beliau,
Keberkesanan teknologi ini turut disokong oleh penerbitan dalam 18 jurnal saintifik, sekali gus menjadikannya antara projek teknologi tempatan yang paling signifikan dalam menangani isu kesihatan awam.
Tambah beliau, MOSTI komited untuk memperluaskan penggunaan AMHS ke kawasan berisiko tinggi, khususnya zon merah denggi melalui kerjasama merentas agensi dan mekanisme pembiayaan strategik.
Menurut MOSTI, usaha ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan MADANI yang menekankan kedaulatan teknologi tempatan serta pengurangan kebergantungan pada teknologi luar.
Tambahnya, inisiatif seperti MySTI membuktikan bahawa inovasi dalam negara mampu menghasilkan penyelesaian yang berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh daya saing negara dalam bidang sains dan teknologi.
Katanya lagi, MySTI ialah satu daripada strategi kerajaan untuk mempersiapkan negara ke arah mencapai kedaulatan teknologi dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar.
Pada masa yang sama, inisiatif ini juga akan membantu mempercepatkan adaptasi teknologi dan proses digitalisasi kerajaan ke arah pembangunan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan pintar.
MOSTI berkata,
Hingga kini, program MySTI telah diperluas kepada semua kementerian, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan negeri melalui Pekeliling Perbendaharaan/Pekeliling Perolehan 1.4: Dasar Bahan, Barangan dan Perkhidmatan Tempatan dalam Perolehan Kerajaan, sekali gus meletakkan barangan dan perkhidmatan berlogo MySTI sebagai keutamaan dalam perolehan kerajaan mulai 23 Jun 2025.
Sebanyak 506 barangan dan perkhidmatan tempatan kini telah menerima penandaan logo MySTI dan disenaraikan dalam Inventori MySTI di portal MySTI.
Dalam hal ini, pendaftaran adalah percuma dan terbuka kepada semua penyelidik dan syarikat tempatan yang layak.
Teknologi yang memelihara kesihatan awam seperti AMHS merupakan manifestasi sebenar pendekatan MADANI yang bukan sahaja mementingkan kemajuan teknologi, malah memastikan seluruh rakyat menikmati hasilnya.
MOSTI percaya bahawa pendekatan whole-of-government dan whole-of-society seperti ini harus diteruskan bagi melahirkan lebih banyak solusi teknologi tempatan yang menyelesaikan isu kesihatan awam.