Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Persidangan Jawatankuasa Pemandu (SCM2025) antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan Japan Atomic Energy Agency (JAEA) telah melakar satu lagi episod penting dalam sejarah kerjasama dua hala bidang tenaga nuklear serantau.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 6 Ogos 2025 hingga 7 Ogos 2025 itu diadakan di Bilik Persidangan, Aras 3, Blok 11, Kompleks Nuklear Malaysia.
Dalam persidangan tersebut, barisan pakar dan pentadbir dari kedua-dua negara membincangkan status semasa, penambahbaikan dan pelan masa hadapan dalam pembangunan teknologi serta modal insan nuklear.
SCM2025 merupakan platform strategik untuk memperkukuh sinergi dan pertukaran pengetahuan antara Malaysia dengan Jepun dalam bidang kritikal ini.
“Kerjasama yang berterusan antara kedua-dua agensi ini adalah penting dalam menghadapi cabaran dan peluang dalam industri nuklear,” kata Pengarah Kanan Program Pengurusan, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Shukri Mohd ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sementara itu, Jurutera Kanan Utama dari Pusat Sokongan Bersepadu bagi Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear, Keselamatan dan Pembangunan Sumber Manusia (ISCN), Mr. Ohkura Takehisa, JAEA berkata, JAEA akan terus menyokong pembangunan kepakaran nuklear di rantau ini.

Antara topik utama yang dibincangkan pada hari pertama termasuklah laporan status terkini Loji Jana Kuasa Nuklear di Jepun dan pelaksanaan Program Latihan Pengajar (ITP) sepanjang tahun fiskal Jepun 2024, sekali gus memberikan gambaran yang mendalam tentang keperluan latihan dan kemahiran yang terus berkembang, seiring dengan kemajuan teknologi nuklear.
Pada masa yang sama, delegasi dari Malaysia pula membentangkan pelan strategik yang berkaitan dengan pembangunan dan penggunaan tenaga nuklear di negara ini, termasuklah Rancangan Pembangunan Sumber Manusia Nuklear, sekali gus membuka ruang pemahaman yang lebih jitu terhadap peranan Malaysia dalam landskap nuklear serantau dan global.
Persidangan tersebut juga memberikan tumpuan kepada penilaian dan pelan kursus latihan Follow-up Training Course (FTC) yang merangkumi kejuruteraan reaktor, pemantauan radioaktiviti alam sekitar serta kesiapsiagaan kecemasan nuklear atau radiologi.
Pembentangan yang disampaikan oleh para penyelaras kursus dari Nuklear Malaysia telah menerima maklum balas konstruktif daripada pihak JAEA, sekali gus mengukuhkan perancangan latihan pada masa hadapan.
Sesi pertemuan antara wakil dari dua negara berkenaan turut menggariskan hala tuju aktiviti ITP yang lebih holistik, sebelum disusuli dengan sesi penggubalan dan pengesahan minit mesyuarat yang menandakan tamatnya SCM2025 secara rasmi.
Kerjasama strategik antara Nuklear Malaysia dengan JAEA bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan dan pembangunan teknologi nuklear, malah mencerminkan komitmen yang berterusan dalam membina daya saing tenaga pakar serta pengamalan piawaian antarabangsa dalam industri nuklear negara.