Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 3 Ogos 2025, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memastikan penyaluran insentif pembajakan dan penuaian padi kepada pesawah dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Menurut kenyataan KPKM, pihaknya telah bersetuju membuat pelarasan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 per hektar kepada RM160 per hektar per musim serta memperkenalkan insentif baharu, iaitu Insentif  Penuaian Padi pada kadar RM50 per hektar per musim kepada pesawah bermula pada tahun 2025.

KPKM telah melaksanakan insentif pembajakan kepada pesawah menerusi dua kaedah pengagihan, iaitu pembayaran tunai tambahan sebanyak RM60 per hektar kepada pesawah yang telah menyelesaikan kerja pembajakan dan membuat tuntutan bagi penanaman pada musim setahun, manakala pembayaran sebanyak RM160 per hektar kepada pesawah mengikut mekanisme sedia ada di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) melalui penyedia perkhidmatan/pemilik jentera bagi penanaman padi pada musim kedua tahun 2025.

KPKM juga akan memaklumkan status pelaksanaan pembayaran insentif tambahan sebanyak RM60 per hektar kepada pesawah yang telah menanam pada musim pertama tahun 2025.

KPKM kini sedang memuktamadkan nama pesawah yang layak menerima insentif ini berdasarkan tuntutan yang dibuat melalui pemilik jentera dan penyedia perkhidmatan sebaik sahaja senarai nama tersebut dimuktamadkan. Proses ini akan mengambil sedikit masa memandangkan terdapat tuntutan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang telah selesai membuat kerja membajak, namun masih belum selesai mengemukakan tuntutan kepada agensi.

Pembayaran insentif pembajakan sebanyak RM160 per hektar bagi penanaman musim kedua tahun 2025 pula akan dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada, iaitu pemilik jentera/penyedia perkhidmatan.

Sementara itu, bagi Insentif Penuain Padi sebanyak RM50 per hektar akan dibayar setelah kerja penuaian selesai dilaksanakan dan dituntut oleh pemilik jentuai atau penyedia perkhidmatan yang berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) bermula pada musim kedua tahun 2025.

“Pada masa ini, pihak agensi dalam proses mengendalikan pendaftaran jentuai bagi membolehkan proses pembayaran dilaksanakan dengan secepat mungkin,” tegas KPKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi