Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Program International Young Future Leaders (i-FUTURE) berjaya menghimpunkan lebih 400 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh Sabah bagi membangunkan kepimpinan belia dalam dunia digital yang semakin mencabar.
Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut menyaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk “Youth Leadership in a Digital World” yang menekankan kepentingan pembinaan kepimpinan beretika dan inklusif dalam persekitaran digital.
Menurut beliau, kepimpinan pada masa ini tidak lagi terbatas kepada ruang rasmi, sebaliknya terbentuk secara aktif dalam media sosial seperti TikTok, X dan Facebook yang secara tidak langsung membentuk budaya, perbualan dan perubahan sosial.
Dalam ucaptama tersebut, beliau menekankan tentang cabaran jurang digital yang masih ketara, terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah dan di Sarawak yang telah mengekang peluang belia untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan kepimpinan digital.
Beliau turut mengatakan bahawa kebanyakan belia menyedari akan kepentingan celik digital untuk menjadi pemimpin, namun mereka masih berdepan dengan kekangan dari segi akses kepada peranti, Internet dan peluang bimbingan.
Menurutnya lagi, i-FUTURE merupakan antara platform penting bagi merapatkan jurang tersebut dan melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknologi, malah turut bertanggungjawab terhadap kesejahteraan sosial dan nilai kemanusiaan.
“i-FUTURE merupakan inisiatif kebangsaan KPT semenjak tahun 2024 dan telah dianjurkan di pelbagai universiti lain dengan edisi pada kali ini merupakan yang pertama diadakan di Sabah dan menjadi platform keterangkuman kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang, merentas institusi dan bidang pengajian,” jelas beliau.
Beliau turut menyenaraikan lima asas pendekatan penting yang boleh memperkukuh kepimpinan digital dalam kalangan belia, iaitu pengukuhan literasi digital, penggunaan media sosial secara bijak, mendapatkan bimbingan, menggalas tanggungjawab sivik serta mengamalkan kepimpinan berasaskan etika dan nilai murni.

Selain itu, antara segmen menarik yang diadakan semasa program tersebut termasuklah sesi ceramah yang dikendalikan oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, YBrs. Puan Ratnawaty Talib bertajuk “Cyber Youth: Navigating AI In A Dangerous Digital World serta forum Youth x AI: Youth Navigating the Digital Future” yang membincangkan tentang peluang dan cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan belia.
Turut hadir dalam program ini ialah Naib Canselor UMS, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor dan barisan pengurusan tertinggi UMS.