Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Selangor – Program EcoShapers@UKM Siri ke-5 yang berlangsung di Taman Alam, Kuala Selangor telah membuka ruang kepada para peserta untuk mendalami prinsip kelestarian secara langsung melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Bertemakan amalan lestari dan gaya hidup sihat, program ini dirangka bagi menyemai nilai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kalangan belia, selain memperkukuh peranan mereka sebagai pemangkin perubahan dalam komuniti.
Program ini merupakan hasil kerjasama pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) dengan sokongan Geran Malaysian Research University Network Research Officer Grant Scheme (MROGS-2023-001).
Sebanyaj 50 pelajar daripada pelbagai fakulti di UKM Bangi dan UKM Kampus Kuala Lumpur telah terlibat secara aktif sepanjang dua hari penganjuran program.
Menurut penyelidik utama projek, Encik Mohd Shafiq Rahmat, EcoShapers@UKM menjadi medan pembentukan kepimpinan belia dalam menangani cabaran kelestarian secara inklusif dan mampan.
Programdimulakan dengan sesi pembersihan hutan bakau bersama-sama Persatuan Pencinta Alam Malaysia, sekali gus memberikan peluang kepada peserta untuk menyusuri hutan paya bakau bagi mengutip sampah yang terperangkap dalam ekosistem tersebut.
Sebanyak 186.1 kilogram sampah berjaya dikutip oleh para peserta dalam tempoh dua jam dan membuktikan komitmen mereka terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.
Pegawai Program Taman Alam Kuala Selangor, Encik Ashok Kumar berkata, walaupun aktiviti pembersihan hutan bakau tidak popular seperti program penanaman pokok bakau, aktiviti ini tetap memainkan peranan yang penting dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan habitat pesisir pantai yang sangat bernilai kepada negara.
Ujarnya,
Aktiviti ini memberikan peluang kepada peserta untuk melihat secara langsung akan kepentingan ekosistem bakau dalam mitigasi perubahan iklim, perlindungan garis pantai, penyerapan karbon serta kekayaan biodiversiti, selain meningkatkan kesedaran para peserta tentang kesan pencemaran, sekali gus memupuk amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.


Selain aktiviti lapangan, para peserta turut mengikuti bengkel amali menghasilkan kertas kitar semula menggunakan bahan terpakai seperti surat khabar, kotak dan kertas buangan harian yang dikendalikan oleh Puan Norlaila Ahmad Fahmi.

Pada sebelah petang, sesi ceramah telah disampaikan oleh Puan Nurul Syasya Mohd Ridzwan Goh yang bertajuk “Kepentingan dan Cabaran Kesihatan Mental dalam Kalangan Pelajar Universiti”, diikuti oleh perkongsian daripada Encik Abdul Hakim Abd Wahid, pelajar pascasiswazah dari Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), UKM berkenaan “Tip Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat di Kampus”.
Pada hari kedua, para peserta diberikan tugasan untuk menyelesaikan cabaran projek SDG melalui aktiviti “Permainan Kompas SDG” yang mengetengahkan pembelajaran SDG secara interaktif, yakni 17 elemen SDG dikategorikan kepada empat tema utama, iaitu pemeliharaan alam sekitar; kesihatan dan kesejahteraan; pelibatan komuniti dan pengurusan ekonomi mampan.


Aktiviti ini memfokuskan kepada simulasi peranan, cabaran berkumpulan dan misi sosial bagi memupuk kefahaman menyeluruh tentang keterkaitan setiap elemen SDG dalam menyelesaikan isu global secara holistik.
Encik Saiful Bahri, peserta dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, berkongsi bahawa pengalaman membersihkan hutan paya bakau memberi kesedaran mendalam terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap ekosistem.
Selain itu, Puan Nuramira Syafiqa dari Fakulti Pendidikan, UKM pula berkata,
Permainan kompas SDG telah membuka mata kami bahawa isu alam sekitar, kesejahteraan, ekonomi dan sosial adalah saling berkait dan modul pembelajaran interaktif yang digunakan dalam program ini telah banyak membantu saya untuk berfikir secara holistik.