Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendidikan kesihatan memasuki era baharu apabila Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pendidikan Sains Kesihatan (InTLEC 2025).
Bertemakan “Innovate to Elevate: Bridging Future and Clinical Teaching in Health Sciences”, persidangan ini membuka ruang wacana ilmiah bersifat rentas disiplin yang menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar, pengamal kesihatan serta penyelidik dari dalam dan luar negara.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pro-Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan) UKM, YBrs. Pofessor Dato’ Dr. Roslee Rajikan yang turut melancarkan buku mewah FSK@Media, iaitu dokumentasi visual perjalanan fakulti dalam mendepani cabaran pendidikan kesihatan masa ini.
“Persidangan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perubahan pengajaran dalam bidang kesihatan yang tidak boleh lagi bergantung pada kaedah lama semata-mata,” tegas YBrs. Pofessor Dato’ Dr. Roslee Rajikan.
Menurutnya lagi, dunia akademik perlu lebih inovatif dan inklusif dengan memanfaatkan teknologi sebaik mungkin supaya dapat melahirkan tenaga profesional yang bersedia untuk cabaran masa hadapan.
Pembentangan utama persidangan dimulakan oleh YBrs. Profesor Dr. Vishna Devi V. Nadarajah dari Newcastle University Medicine Malaysia yang membangkitkan isu penting berkaitan dengan keperluan mendesak untuk melahirkan ahli profesional kesihatan yang bersedia menghadapi cabaran dunia digital serta bersandarkan nilai kemanusiaan dan akauntabiliti sosial.
Sesi pleno sepanjang persidangan memperlihatkan kelainan dan ketajaman pandangan para tokoh dalam pelbagai aspek pendidikan kesihatan, termasuklah integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran klinikal, penerapan media sosial dalam mendidik masyarakat, serta kepentingan kesihatan fizikal dan kesejahteraan dalam kalangan pendidik dan pelajar.
Menariknya, sesi “NextGen Classroom” turut memberikan dimensi baharu kepada pengajaran dan pembelajaran apabila menunjukkan keupayaan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan pedagogi pengajaran.

Pada hari kedua persidangan, tiga bengkel pengajaran dan pembelajaran telah diadakan iaitu “Learn AR in 3 Hours – A Beginner’s Hands-On Workshop”, “Crafting Interactive Learning Experiences on iPADS” dan “Simulation Based Learning: Perception and Challenges for Clinical Teaching”.



Pengerusi InTLEC 2025, YBrs. Profesor Madya Dr Ismarulyusda Ishak dalam ucapan penutupnya berkata, persidangan ini merupakan cerminan komitmen UKM untuk sentiasa bersedia menghayati evolusi pendidikan kesihatan pada masa ini dengan memanfaatkan teknologi sebaik mungkin demi memastikan pendidikan kesihatan kekal relevan dan selari dengan perubahan global.
InTLEC 2025 juga menjadi simbolik kepada kesepaduan pelbagai institusi pendidikan tinggi melalui penglibatan rakan strategik, iaitu KPJ Healthcare University (KPJU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bersama-sama berganding bahu memperkukuh ekosistem pendidikan kesihatan negara.