Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Alam – Pusat Fisioterapi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program intervensi khas bertajuk KNEE-OA: Kurangkan Sakit, Tingkatkan Mobiliti bagi membantu pesakit yang mengalami osteoartritis (OA) lutut menerusi pendekatan pendidikan dan senaman klinikal.
Program yang menghimpunkan sebanyak 21 peserta pada sesi pertama dan 24 peserta pada sesi kedua ini mencerminkan tahap keprihatinan masyarakat terhadap penjagaan sendi lutut yang selama ini kurang diberikan perhatian.
Ketua program, Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) U5, Muhammad Amirul Haqiim Alias merakamkan penghargaan kepada para penceramah dan peserta yang hadir serta menekankan pentingnya kefahaman dan pengetahuan dalam pengurusan sakit kronik lutut.
Sesi pertama dimulakan dengan ceramah oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Fisioterapi (Muskuloskeletal), Dr. Saiful Adli Bukry yang menekankan bahawa sakit bukan sekadar akibat kecederaan fizikal, sebaliknya turut melibatkan cara otak memproses isyarat perlindungan.

Menurut beliau, persepsi terhadap kesakitan memainkan peranan besar dalam keupayaan pesakit untuk sembuh, justeru penting untuk memahami konteks sakit dan mengatasi ketakutan terhadap pergerakan secara berperingkat.
Beliau juga menekankan bahawa kesakitan dan kecederaan merupakan dua perkara yang berbeza seperti kecederaan mungkin sudah pulih, namun jika otak masih “memainkan” isyarat sakit, rasa sakit itu akan berlarutan dan menjadi kronik.
Sesi kedua diteruskan oleh Pensyarah Kanan bidang Muskuloskeletal, Encik Naim Faiz Imran yang mengupas pengurusan osteoartritis lutut melalui pendekatan rejim aktiviti fizikal yang tersusun dan selamat.

Beliau menjelaskan bahawa OA lutut ialah penyakit kronik yang memerlukan pengurusan kendiri berasaskan senaman, aktiviti fizikal berkala dan pendidikan pesakit untuk mengurangkan kesakitan sehingga 40 peratus.
Katanya, otot yang lemah boleh meningkatkan risiko jatuh dan menyumbang kepada kekakuan serta kemerosotan fungsi sendi, justeru penting untuk menguatkan otot peha seperti melalui senaman mudah “squat to kuat our quads”.
Beliau turut memperkenalkan pendekatan senaman FITT, iaitu Frekuensi, Intensiti, Masa dan Jenis sebagai garis panduan penting dalam mengatur rejim senaman yang berkesan dan selamat untuk penghidap OA.
Antara elemen utama yang ditekankan ialah kekuatan otot, ketahanan kardiovaskular dan kawalan berat badan, dengan cadangan senaman seperti berbasikal, naik turun tangga, penggunaan kettlebell dan elastic band yang sesuai mengikut kemampuan pesakit.

Tambah beliau, jika kesakitan bertambah secara tiba-tiba, pesakit tidak perlu menghentikan senaman sepenuhnya, sebaliknya hanya perlu menyesuaikan intensiti agar otak tidak terbiasa mentafsirkan kesakitan sebagai penghalang pergerakan.
Selesai sesi ceramah, para peserta menjalani latihan praktikal yang melibatkan senaman mobiliti, regangan dan kekuatan yang dipimpin oleh pelajar tahun akhir jurusan Fisioterapi UiTM.
Program berakhir dengan sesi fotografi bersama penceramah dan peserta sebagai simbolik komitmen UiTM dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan fisioterapi berasaskan ilmu, latihan dan penyertaan aktif.