Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Hutan paya bakau yang kaya dengan biodiversiti kini berdepan tekanan hebat akibat kegiatan manusia, menuntut tindakan segera dan bersepadu bagi memastikan kelestarian ekosistem ini terus terpelihara.
Hutan paya bakau merupakan habitat semula jadi bagi pelbagai spesies hidupan unik seperti ikan, burung, mamalia, reptilia, amfibia serta mikroorganisma kecil seperti plankton.
Ekosistem ini berperanan penting sebagai kawasan perlindungan anak ikan, penapis pencemaran, penghalang hakisan pantai akibat ombak dan tsunami, serta takungan karbon yang berupaya menyerap sejumlah besar karbon bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.
Pensyarah Kanan bidang biologi marin dari Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Puan Rohayu Ramli menjelaskan bahawa hutan paya bakau turut menjanakan nilai ekonomi melalui hasil laut dan tumbuhan herba yang bermanfaat kepada komuniti setempat serta sektor bioteknologi dan perubatan.
Tambah beliau, kawasan hutan paya bakau juga mempunyai potensi besar dalam bidang ekopelancongan menerusi pelaksanaan program rekreasi, sukan air dan aktiviti pemerhatian burung yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Walau bagaimanapun, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman antropogenik yang semakin meruncing akibat kerakusan pembangunan tanpa mengambil kira kesan negatif ke atas ekosistem yang kompleks ini.
“Penebangan tidak terkawal, pembangunan perumahan dan industri serta pencemaran air memberikan kesan langsung kepada kestabilan dan kelangsungan ekosistem bakau,” ujarnya.
Menurut beliau, pencemaran air yang berpunca daripada pelepasan sisa domestik, pertanian dan perindustrian membawa masuk bahan toksik seperti logam berat, minyak dan nutrien berlebihan yang mengganggu keseimbangan kimia air serta menjejaskan kesihatan fisiologi pokok bakau dan organisme akuatik yang bergantung kepada ekosistem ini.

“Logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum boleh terkumpul dalam tisu tumbuh-tumbuhan sehingga mengganggu proses fotosintesis dan pertumbuhan akar, manakala populasi haiwan akuatik berkurangan akibat gangguan pembiakan dan penghijrahan mendadak,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, pencemaran sisa organik menyebabkan penurunan kadar oksigen terlarut dalam air, sekali gus meningkatkan kadar kematian hidupan seperti siput, ketam dan ikan yang bergantung kepada ekosistem pasang surut yang sensitif.
Sebagai langkah mitigasi, beliau mencadangkan agar pendekatan proaktif dan bersepadu digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan proses pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau dilaksanakan secara berkesan.

“Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan paya bakau melalui saluran televisyen, radio, akhbar, media sosial dan dokumentari,” kata beliau.
Menurut beliau, penyebaran maklumat mengenai isu pencemaran, kemusnahan habitat dan inisiatif pemulihan dapat menggalakkan tindakan kolektif masyarakat bagi melindungi ekosistem ini secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk nilai kelestarian dalam kalangan generasi muda menerusi integrasi topik berkaitan dengan hutan paya bakau dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti lawatan lapangan, projek komuniti dan program pemuliharaan dapat memupuk rasa tanggungjawab serta kesedaran mendalam dalam kalangan pelajar terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang tegas merupakan komponen penting dalam memastikan usaha pemeliharaan hutan paya bakau benar-benar memberi impak.
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang menjejaskan ekosistem bakau seperti penebangan haram, pencemaran dan pembangunan yang tidak terkawal,” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa pemantauan berterusan dan penguatkuasaan yang konsisten perlu dilaksanakan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjamin keberkesanan jangka panjang.
Puan Rohayu Ramli turut menggalakkan pelibatan aktif universiti dan mahasiswa dalam usaha melindungi hutan paya bakau, sekali gus memupuk peranan mereka sebagai agen perubahan.
“Mahasiswa dan pelajar pascasiswazah, sama ada pada peringkat sijil, diploma atau doktor falsafah boleh menyumbang sebagai sukarelawan dalam program konservasi serta menyampaikan maklumat secara kreatif melalui platform media,” ujar beliau.
Beliau ditemu bual sempena penganjuran sambutan Hari Lautan Sedunia peringkat Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis.
Pelbagai aktiviti seperti pertandingan mereka slogan dan poster bertemakan Hari Lautan Sedunia telah diadakan di Bangunan Al-Farabi 3, UiTM Cawangan Perlis bermula 8 Jun hingga 15 Julai 2025.

Penjurian pertandingan dijalankan secara dalam talian yang menyaksikan pelibatan YBrs Puan Rohayu Ramli bertindak selaku ketua juri bersama-sama Puan Norlin Shuhaime dari Fakulti Sains Gunaan dan Encik Ray Adderley JM Gining dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Para peserta turut mempamerkan hasil kreativiti mereka dalam bentuk poster sebagai usaha meningkatkan kesedaran sivik terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem lautan dan hutan paya bakau.