Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 19:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Persepsi negatif terhadap subjek matematik dan sains komputer dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyebabkan minat pelajar universiti dan sekolah terhadap bidang tersebut semakin merosot.

Hal ini menimbulkan kebimbangan yang serius apabila generasi muda menunjukkan minat yang rendah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang boleh memberikan kesan kepada pembangunan tenaga pakar dalam bidang kritikal, daya saing negara serta memperluas jurang digital dan teknologi.

Menurut Pengarah Program Research Exhibition in Mathematics and Computer Sciences (REMACS 8.0), Encik Mohd Halimi Ab Hamid, stigma bahawa kedua-dua subjek itu sukar, membebankan dan tidak praktikal perlu diubah segera.

YBrs Pengarah REMACS 8.0, Encik Mohd Halimi Ab Hamid (kanan) dan Timbalan Pengarah REMACS 8.0, Encik Mohammad Hafiz Ismail (kiri) di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

Beliau menjelaskan bahawa ramai pelajar telah mengalami math anxiety sejak di bangku sekolah lagi akibat pendekatan pengajaran yang terlalu berasaskan hafalan tanpa penekanan terhadap pemahaman konsep.

Bagi subjek sains komputer pula, bidang ini sering dianggap terlalu teknikal dan sukar untuk dikuasai, terutamanya oleh pelajar yang bukan dari aliran sains tulen, sekali gus menjejaskan keyakinan mereka untuk mencuba.

“Mereka tidak nampak bagaimana kedua-dua bidang ini digunakan dalam dunia sebenar kerana kurang aspek pendedahan kepada penggunaannya dalam industri,” jelas beliau.

Namun begitu, beliau optimis bahawa pendekatan pedagogi yang lebih interaktif dengan penggunaan teknologi terkini mampu mengubah keadaan ini.

“Pelajar masa ini lebih mudah tertarik apabila mereka dapat melihat bagaimana matematik dan sains komputer digunakan dalam dunia sebenar seperti chatbot kecerdasan buatan (AI), sistem ramalan cuaca, e-dagang, permainan video, automasi dan robotik,” kata beliau.

“Penggunaan teknologi dalam pengajaran juga membantu pelajar memahami konsep dengan lebih mudah kerana mereka dapat melihat aplikasinya secara visual dan interaktif, bukan sekadar membaca teori dalam buku teks,” tambah beliau.

Beliau turut menyarankan agar pelajar didorong untuk menyertai pertandingan inovasi sebagai langkah berkesan bagi merangsang minat secara praktikal.

Katanya, pertandingan seperti hackathon, pertandingan reka cipta teknologi, cabaran data atau math olympiad memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar secara tidak formal dalam suasana kompetitif yang membina.

REMACS 8.0 berjaya menarik kunjungan masyarakat dan penyelidik daripada pelbagai bidang di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

“Dalam suasana seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat menonjolkan bakat dan kreativiti mereka, bahkan mereka juga mendapat bimbingan secara langsung daripada ahli akademik dan pemain industri yang pastinya membuka mata mereka terhadap prospek kerjaya sebenar,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa penggunaan teknologi canggih seperti AI, aplikasi mudah alih, robotik dan automasi mampu memberikan kesan besar terhadap cara pelajar memahami dan menghargai bidang matematik dan sains komputer.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi