Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Mikroelektronik dan Nanoelektronik (IMEN) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di ibu pejabat syarikat tersebut di Melaka.

Perjanjian ini menandakan permulaan kepada kerjasama strategik antara UKM dengan Infineon dalam melaksanakan dua projek penyelidikan yang memfokuskan teknologi semikonduktor

Majlis penandatanganan MoU ini disaksikan oleh barisan penyelidik, wakil industri serta pengurusan kanan kedua-dua pihak.

Kerjasama tersebut bertujuan untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan, membangunkan bakat teknikal tempatan serta menyokong agenda negara dalam memperkasakan industri semikonduktor.

Timbalan Pengarah IMEN, YBrs. Profesor Madya Dr. Ramdzan Buyong dalam ucapannya berkata, pemeteraian MoU ini merupakan satu pencapaian penting yang memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dengan industri.

Beliau turut menekankan bahawa IMEN yang telah beroperasi selama 23 tahun memainkan peranan utama dalam bidang kejuruteraan mikro dan nanoelektronik yang disokong oleh kemudahan makmal moden dan tenaga penyelidik yang berpengalaman.

Ujar beliau,

Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan bakat dan penghasilan penyelidikan berimpak tinggi yang relevan dengan keperluan industri semikonduktor.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pempakejan Semikonduktor Termaju, YBrs. Profesor Dr. Azman Jalar turut berkongsikan kejayaan IMEN dalam menjalin kerjasama yang berterusan dengan pihak industri, terutamanya dalam bidang teknologi semikonduktor.

Menurut beliau,

Gabungan kepakaran akademik dan sokongan industri adalah kunci dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan serta melonjakkan keupayaan teknologi tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan Infineon Technologies Melaka, Encik Eng Seng Meng dalam ucapannya turut menekankan komitmen Infineon dalam memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

Beliau turut menyokong peranan penting universiti dalam membangunkan bakat berkemahiran tinggi dan mempercepatkan inovasi teknologi dalam industri semikonduktor.

MoU tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan pada masa akan datang, selaras dengan usaha nasional dalam membangunkan ekosistem teknologi canggih dan inovatif.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi