Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBestari Jaya – Universiti Selangor (UNISEL) telah menganjurkan Program STEM Forensik yang menggunakan pendekatan pendidikan berasaskan siasatan, penerokaan dan ekspresi kendiri, sekali gus berupaya meningkatkan pemikiran saintifik serta minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program yang berlangsung di Kampus Bestari Jaya itu merupakan hasil inisiatif di bawah dana SciTech4U dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berjumlah RM8480 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor selaku rakan strategik.
Sebanyak 120 orang pelajar dari enam buah sekolah menengah di daerah Hulu Selangor telah menyertai program berkenaan yang mengetengahkan pendekatan pembelajaran aktif dan berasaskan siasatan.
YBrs. Dr. Hazeeq Hazwan Azman selaku Ketua Projek dan Koordinator STEM UNISEL memberikan tumpuan kepada tiga kes forensik utama yang disusun dalam bentuk aktiviti interaktif.
Semasa program tersebut berlangsung, para pelajar dikehendaki untuk menyiasat kes pembunuhan melalui simulasi makmal, menyelesaikan kes jenayah marin melalui aktiviti digital Pemburuan Maya dan menyahkod mesej misteri dengan menggunakan buku aktiviti Digital Detectives yang dibangunkan oleh pasukan STEM UNISEL.


Aktiviti dijalankan di tiga lokasi utama, iaitu Makmal Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Perpustakaan UNISEL dan Pusat Islam UNISEL.
Program berkenaan bukan sahaja mendapat sokongan daripada pensyarah. malah pelajar UNISEL dari pelbagai fakulti turut terlibat sebagai fasilitator dan memberikan bimbingan secara langsung kepada para peserta.
Melalui interaksi ini, peserta dapat memperoleh pendedahan akademik dan berpeluang merasai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus membina jalinan kerjasama antara universiti dengan sekolah, di samping memupuk kemahiran komunikasi serta kepimpinan dalam kalangan fasilitator muda.
Dengan adanya kerjasama antara kementerian, IPT, pejabat pendidikan daerah dengan komuniti sekolah, program ini dapat memperkukuh ekosistem pendidikan sains yang lebih dinamik dan inklusif.
Inisiatif seumpama ini sewajarnya diteruskan dan diperluas agar lebih banyak pelajar berpeluang merasai pengalaman pembelajaran dalam bidang STEM yang menyeronokkan, bermakna dan relevan dengan cabaran pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kecemerlangan Penyelidikan UNISEL, YBrs. Profesor Madya Dr. Nur Syufiza Ahmad Shukor serta Pegawai SISC+ TVET PPD Hulu Selangor, Puan Mazlina Rosli.

