Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju meluluskan pemberian Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran dan sedang menjalani tugas di bawah penyeliaan pakar dalam tempoh  Supervised Work Experience (SWE) mereka.

Menurut KKM, pembayaran BIPPW ini akan bermula sebaik sahaja pegawai memulakan SWE.

Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar apabila pegawai hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) selepas berjaya menyelesaikan proses pewartaan.

“Pelaksanaan BIPPW adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025. Untuk makluman, kadar bayaran BIPW adalah sama dengan kadar bayaran BIP dan ditetapkan mengikut gred sebenar pengawai, melibatkan Gred 10 hingga 14,” ujar KKM dalam kenyataan akhbarnya.

Dengan berkuatkuasanya Akta A1729,  semua latihan kepakaran yang dijalankan di negara ini kini lebih terkawal dari segi undang-undang.

Mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan dan pendaftaran pakar, khususnya dalam bidang pembedahan kardiotorik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik, kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran seperti yang dijanjikan oleh kerajaan pada awal tahun 2024.

Untuk makluman, SWE ialah tempoh percubaan yang mesti dilalui oleh semua pegawai perubatan selepas berjaya menamatkan latihan kepakaran mereka.

KKM juga menjelaskan insentif ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan beban kerja yang akan dipikul oleh pegawai sepanjang tempoh SWE mereka, yang melibatkan melaksanakan tugas yang sama seperti seorang pakar perubatan.

Oleh hal demikian, ujar KKM insentif  ini juga merupakan satu langkah penting ke arah menjaga kebajikan warga KKM, di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi