Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited mengiktiraf sumbangan anak muda melalui Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN).

Dalam satu kenyataan, MOSTI menyatakan bahawa pendaftaran pencalonan anugerah ini dibuka hingga 29 Ogos 2025 dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi MOSTI.

MOSTI berkata,

Pada tahun 2025, MOSTI telah menyemak semula kriteria pencalonan anugerah ini agar selaras dengan perubahan dan keperluan semasa serta menarik lebih banyak pencalonan daripada institusi penyelidikan atau syarikat swasta yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menurut MOSTI, pencalonan terbuka kepada saintis warganegara Malaysia di bawah umur 40 tahun pada tahun pertandingan dan calon perlu menjalankan projek R&D di pusat penyelidikan dan institusi pengajian awam atau swasta di Malaysia.

Tambahnya, pencalonan juga haruslah relevan dan mempunyai sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan kemajuan industri, masyarakat atau negara.

Katanya lagi, calon juga perlu berketerampilan serta mempunyai daya kreativiti, inovasi dan kompetensi sebagai seorang penyelidik yang berkaliber.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa ASMN merupakan anugerah tahunan yang menghargai kecemerlangan saintis muda dalam bidang penyelidikan R&D STI.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, ASMN telah menjadi platform penting dalam menyerlahkan potensi dan kreativiti saintis muda tanah air.

Pada tahun 2024, sebanyak lima kategori baharu ASMN telah diperkenalkan dan sebanyak 45 pencalonan yang layak dinilai merangkumi bidang fizik (2), kimia (8), biologi (8), perubatan (10) dan kejuruteraan (17).

Menurut MOSTI, setiap kategori anugerah akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 seorang, plak, sijil dan geran dana penyelidikan MOSTI hingga RM1 juta (tertakluk kepada terma dan syarat Jawatankuasa Dana MOSTI).

Inisiatif penganjuran dan pengiktirafan ASMN merupakan antara langkah strategik dalam mempersiapkan negara menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Jelas MOSTI, anugerah ini memberikan ruang untuk mengetengahkan hasil penyelidikan yang berpotensi tinggi dalam menyelesaikan isu dan keperluan kehidupan seharian rakyat.

Usaha ini juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan Malaysia terus melahirkan saintis muda yang berdaya cipta, berinovasi serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MOSTI berkata, langkah ini adalah selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, makmur dan berdaya saing mengikut kerangka Malaysia MADANI.

Mengulas dengan lebih lanjut, anugerah ini juga merupakan satu manifestasi komitmen MOSTI dalam merealisasikan slogan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”.

Poster pencalonan Anugerah Saintis Muda Negara 2025.
Kredit Foto: Facebook MOSTI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi