Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Dalam usaha menyumbang kepakaran akademik kepada masyarakat melalui aktiviti sukan dan pendidikan kesihatan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan yang ketiga, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu Sukan Dodgeball yang dikenali sebagai “Little Dodgers Clinic” di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat, Perlis.
Program yang disertai oleh 41 orang murid Tahun Lima SK Simpang Empat itu bertujuan untuk memperkenalkan sukan dodgeball kepada murid sekolah rendah sebagai sukan alternatif yang menyeronokkan, dinamik dan sesuai untuk semua tahap kemahiran.
Antara aktiviti utama yang dijalankan dalam program tersebut termasuklah sesi pengenalan sukan, sejarah, kemahiran teknik asas, latihan berkumpulan serta pertandingan mini sukan dodgeball.


Guru Besar SK Simpang Empat, Encik Syagul Yuhanis Mohd Yusof dalam ucapannya berkata, program tersebut merupakan inisiatif yang sangat baik dalam memperkenalkan sukan dodgeball kepada murid sekolah.
Beliau juga menyatakan bahawa penyertaan murid amat memberangsangkan dan pendekatan klinik sukan seperti ini amat sesuai untuk membina asas kemahiran secara berperingkat.
“Saya juga menyarankan agar pihak fakulti dapat menyediakan sesi kursus yang berkaitan kepada guru pula bagi membolehkan mereka meneruskan latihan di sekolah,” kata Encik Syagul Yuhanis Mohd Yusof.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis merangkap penyelaras program, Puan Siti Hannariah Mansor pula berkata, pemindahan ilmu melalui pendekatan sukan seperti ini dapat menanam minat terhadap gaya hidup sihat bermula pada peringkat sekolah rendah kerana sukan ini adalah antara medium terbaik untuk melatih fokus, kepantasan dan semangat berpasukan.
Tambah beliau,
Program ini juga berpotensi untuk dikembangkan sebagai aktiviti berterusan di sekolah dan komuniti dengan matlamat jangka masa panjang untuk menyumbang kepada kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, Penolong Kanan Kokurikulum, SK Simpang Empat, Encik Nass Iffat Mohd Salleh berpandangan bahawa program ini dapat memberikan kemahiran baharu kepada murid dalam sukan dodgeball yang kian dikenali di Perlis dan berharap agar lebih banyak program seperti ini dilaksanakan di sekolah supaya negara tidak kehilangan bakat muda.
Ujar beliau,
Program seperti ini bukan sahaja memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Turut hadir ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Simpang Empat, Puan Zaharah Talib.
