Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memajukan kejuruteraan nuklear di Malaysia, di samping mengeratkan hubungan kerjasama, Persatuan Nuklear Malaysia atau dikenali sebagai Malaysian Nuclear Society (MNS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) di Ibu Pejabat BEM.
Turut bersama-sama dalam sesi pertemuan ini ialah wakil dari Institute of Nuclear Engineers (INE–MNS), sebuah badan yang bernaung di bawah MNS.
Delegasi MNS yang diketuai oleh Presiden MNS, YBrs. Dr. Abdul Aziz Mohamed dan ahli jawatankuasa persatuan telah disambut mesra oleh wakil BEM, Encik Ir. Fam Yew Hin bersama-sama beberapa orang ahli lembaga yang lain.
Pertemuan tersebut dimulakan dengan sesi pengenalan BEM oleh Encik Ir. Mohd Norkamil Mohd Daril yang menyentuh tentang sejarah, organisasi dan peranan BEM, khususnya dalam pengiktirafan jurutera profesional di Malaysia.
Seterusnya, Pengerusi INE–MNS, Encik Asyraf Arif Abu Bakar berpeluang berkongsikan tujuan penubuhan dan aktiviti INE–MNS yang pernah dilaksanakan, misalnya libat urus bersama-sama pemain industri dan pihak kerajaan serta penganjuran beberapa program seperti persidangan, webinar dan seminar bagi mempromosikan dan menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan dengan tenaga nuklear dan keselamatan nuklear.

Dalam pertemuan tersebut juga dibincangkan hal yang berkaitan dengan graduan jurutera nuklear, terutamanya bagi memastikan hala tuju kerjaya yang jelas dan berdaya saing dalam industri.
Antara inti pati perbincangan berkenaan dinyatakan bahawa para graduan jurutera nuklear perlu melalui pembangunan secara profesional dengan mendaftarkan diri sebagai jurutera siswazah dan seterusnya menjadi jurutera profesional dalam bidang nuklear.
Pada masa yang sama, pihak MNS turut bersetuju untuk membimbing dan memastikan agenda melahirkan jurutera profesional dalam bidang nuklear diperhebat supaya dapat memenuhi hasrat negara untuk menjadikan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada sumber tenaga di Malaysia.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut juga telah membuka ruang kepada MNS untuk menyampaikan aspirasi dan peranan penting tenaga nuklear sebagai sumber tenaga masa hadapan serta potensi penggunaannya dalam sektor perubatan, industri dan pertanian.
MNS amat menghargai keterbukaan pihak BEM menerima kunjungan ini dan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan profesionalisme dalam bidang kejuruteraan nuklear dan kerjasama erat ini diharapkan akan diteruskan demi kemajuan sektor tenaga dan kejuruteraan negara.