Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital telah melancarkan konsultasi awam peringkat nasional sebagai langkah awal dalam merangka Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.

Menurut Kementerian Digital dalam satu kenyataan, pelan tersebut merupakan hala tuju strategik negara bagi pembangunan dan penerapan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, inklusif dan berimpak tinggi demi kemajuan dan kesejahteraan Malaysia.

Kementerian Digital berkata, satu soal selidik ringkas dan mudah diakses diperkenalkan sebagai langkah permulaan untuk mengumpulkan maklum balas rakyat terhadap tahap kesediaan negara dalam menghadapi era teknologi AI dan mengenal pasti kebimbangan utama seperti kehilangan pekerjaan akibat automasi dan isu privasi data.

Tambahnya, soal selidik berkenaan juga adalah untuk meneroka aspirasi masyarakat tentang cara teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk menangani cabaran besar negara.

Katanya, NAIO komited dalam memastikan pembangunan teknologi AI negara agar dirancang secara inklusif dan berwawasan.

Setiap maklum balas daripada rakyat akan menjadi asas penting dalam merangka dasar dan inisiatif teknologi AI yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat serta memacu kemajuan negara.

Katanya,

Sebagai unit penyelaras utama dalam bidang teknologi AI negara, NAIO dipertanggungjawabkan untuk memacu penerapan teknologi ini merentasi pelbagai sektor secara sistematik dan bersepadu.

Jelasnya, aspirasi utama NAIO adalah untuk membina sebuah ekosistem AI yang kukuh, inklusif dan dipercayai serta mampu memberikan impak sebenar dan boleh diukur kepada rakyat dan negara.

Pelan Tindakan AI Kebangsaan ini akan merangka pendekatan menyeluruh yang menyatukan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat agar pembangunan teknologi AI negara bergerak seiring, saling melengkapi dan berpaksikan keperluan bersama.

Selain itu, pandangan rakyat amat penting dalam memastikan pembangunan teknologi AI negara bersifat inklusif dan berkesan.

Katanya lagi, NAIO mengalu-alukan penyertaan daripada semua pihak untuk menjawab soal selidik yang kini boleh diakses melalui laman sesawang rasmi dan media sosial NAIO.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi