Diterbitkan pada 6 Julai 2025, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Inisiatif Train to Humanity (TTH) 7.0 melalui Compassion Outreach 1.0 telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong yang melibatkan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan matlamat memperkasakan pelajar PPKI melalui latihan kemahiran praktikal dan digital.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjadi platform pemindahan ilmu yang menyasarkan dua komponen utama, iaitu kemahiran bakeri dan pemasaran digital dengan menggunakan Canva yang menjadi elemen penting dalam dunia keusahawanan moden.

Dengan melibatkan lebih daripada 100 orang pelajar pendidikan khas dan 30 orang mahasiswa USM, program tersebut direka khas bagi membina keyakinan diri pelajar PPKI, merangsang kreativiti serta menyediakan ruang untuk pembelajaran berasaskan pengalaman.

Antara aktiviti yang dijalankan, termasuklah sesi membakar kek dan biskut, permainan interaktif serta bengkel reka bentuk poster pemasaran dengan bimbingan fasilitator dan penceramah bagi membolehkan para pelajar mempelajari kemahiran baharu dan didedahkan kepada cara produk yang dihasilkan boleh dipasarkan dalam bentuk visual profesional.

Pelajar bersama-sama ahli MPDR semasa mengikuti kelas pastri dan menghasilkan pelbagai jenis biskut dan kek secara praktikal.

Menurut Pemantau Projek, Puan Nur Aliatul Aina Mohd Sihar, program tersebut menyahut hasrat TTH 7.0 untuk mengangkat nilai kemanusiaan melalui aksi nyata.

Ujar beliau,

Kami ingin pelajar PPKI mengetahui bahawa mereka juga mampu bersaing dan menyumbang dalam dunia sebenar dengan adanya bimbingan dan pendekatan yang sesuai.

Latihan Canva yang dikendalikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, YBrs. Dr. Nik Hadiyan Nik Azman menjadi antara sesi yang paling mendapat sambutan kerana pendekatan pengajaran yang digunakan berupaya menggalakkan pelajar mencipta identiti visual bagi produk mereka.

YBrs. Dr. Nik Hadiyan Nik Azman ketika mengendalikan kursus penggunaan aplikasi Canva.

Jelas beliau,

Kami mengajar pelajar asas reka bentuk seperti warna, tipografi dan susun atur supaya mereka boleh mencipta poster bakeri yang menjadi asas kepada promosi produk pada masa ini.

Program berkenaan secara langsung menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Keempat: Pendidikan Berkualiti dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan dengan menyediakan pendidikan yang inklusif, saksama dan relevan, selari dengan misi USM sebagai universiti penyelidikan transdisiplin yang memperkasakan bakat masa hadapan dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil yang terdiri daripada tiga orang hingga empat orang dan dibimbing oleh seorang fasilitator bagi menyempurnakan latihan praktikal di dalam kelas Canva.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Jelutong, Puan Norlinda Ibrahim berkata, program ini bukan sahaja membina keyakinan pelajar untuk mempersembahkan hasil kerja mereka, malah memberikan semangat baharu kepada mereka.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jelutong, Puan Suhaily Azlin Wahiddin menyatakan bahawa program tersebut membuktikan bahawa pelajar PPKI juga mampu berinteraksi secara aktif dan positif apabila diberikan ruang dan sokongan yang sesuai.

Katanya,

Kolaborasi ini telah mewujudkan suasana pembelajaran yang inklusif dan menyeronokkan, sekali gus pelajar berani berkomunikasi, saling bekerjasama dan menunjukkan keyakinan diri yang semakin meningkat sepanjang program berlangsung.

Seorang daripada pelajar PPKI turut berkongsikan rasa teruja beliau kerana buat kali pertamanya dapat menghasilkan poster sendiri.

“Saya berasa bangga dengan hasil kerja yang dihasilkan dan saya mahu terus belajar dan membuat poster untuk kek dan biskut yang kami buat,” katanya ringkas, namun penuh semangat.

Penggawa Desasiswa Restu merangkap penasihat program, YBrs. Dr. Lim Chee Ann menyatakan bahawa program seumpama ini merupakan pendidikan yang mampu mengubah kehidupan dengan membawa mahasiswa melihat sendiri realiti lapangan serta memberikan nilai tambah kepada komuniti.

Pegawai Unit Pemulihan Khas dari Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Puan Nurshafiqqah Shahrudin yang turut hadir dalam program tersebut menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program yang berimpak itu dan menanam harapan agar inisiatif yang memberikan fokus kepada pembangunan kemahiran pelajar PPKI ini dapat diperluas ke sekolah lain.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan dan sesi bergambar bersama-sama pihak sekolah, pentadbir, fasilitator serta pelajar yang terlibat.

Majlis penutupan program diserikan dengan sesi pertukaran cenderamata antara Penggawa Desasiswa Restu, YBrs. Dr. Lim Chee Ann dengan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jelutong, Puan Suhaily Azlin Wahiddin.

MPDR turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut atas kepercayaan dan sokongan dalam menjayakan program yang berimpak tinggi dan bermakna itu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi