Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Semangat kesukanan dan keterangkuman terserlah apabila sebanyak 23 peserta orang kurang upaya (OKU) mengambil bahagian dalam program High-Five Society 4.0 yang berlangsung di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis.
Program ini dianjurkan oleh pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (SR241), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, sebagai pelaksanaan tugasan akademik untuk tiga kursus, iaitu Strategic Management and Event Operations (SMG502), Sponsorship in Sports (SRB503) dan Recreation for Person with Disabilities (SRT502).
Penganjuran ini mengangkat tema “Inklusiviti Rekreasi untuk OKU” dengan objektif memberikan pendedahan langsung kepada pelajar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti fizikal yang mesra kepada pelbagai keupayaan.
Konsep keterangkuman yang diketengahkan turut memberikan penekanan kepada akses yang adil terhadap aktiviti rekreasi serta penyertaan aktif tanpa sebarang halangan atau diskriminasi.
Selain memperkukuh aspek akademik, program ini turut menjadi jambatan interaksi antara pelajar dengan komuniti OKU, khususnya dalam aspek komunikasi, penyediaan kemudahan serta pengurusan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
Pelaksanaan program di lokasi terbuka juga memberikan nilai tambah melalui pendedahan langsung kepada masyarakat umum tentang kebolehan sebenar golongan OKU dalam dunia sukan dan rekreasi.
Menurut Encik Muhammad Ekmal Hakim bin Abdullah, peserta yang mengalami palsi serebrum, penyertaan dalam program ini amat bermakna kerana aktiviti diadakan di luar kampus dan membolehkan masyarakat melihat kemampuan sebenar OKU.

“Saya juga berharap agar inisiatif seperti ini dijadikan inspirasi oleh pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan dan organisasi sukan untuk memperluas akses penyertaan OKU dan menjadikan aktiviti sukan sebagai ruang integrasi sosial yang lebih menyeluruh,” jelasnya lagi.
Penyertaan program melibatkan ahli Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Perlis (PESRON) yang terdiri daripada pelbagai kategori ketidakupayaan, termasuklah ketidakupayaan fizikal, pembelajaran dan palsi serebrum.
Sebanyak enam aktiviti fizikal dirangka dan dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar dataran bagi menggalakkan pergerakan aktif serta memberi pengalaman menyeronokkan kepada semua peserta.
Puan Mia Nirwani Mohammad, peserta tetap program sejak edisi pertama yang mengalami masalah saraf tunjang sejak lahir, menyatakan harapannya agar masyarakat terus memberi peluang kepada OKU untuk menikmati kehidupan dengan lebih bermakna.

Wakil penganjur menyatakan bahawa program ini turut bertujuan untuk memupuk nilai positif seperti toleransi, kerjasama dan semangat perpaduan dalam kalangan peserta.
Melalui pelibatan secara langsung, pelajar berpeluang membina kecekapan dalam pengurusan acara dan memperoleh pengalaman praktikal dalam bidang rekreasi inklusif.
Encik Muhammad Alif bin Malek, Setiausaha PESRON, menyuarakan harapan agar penganjuran program seperti ini dapat membuka mata masyarakat tentang keupayaan sebenar komuniti OKU dalam bidang sukan dan rekreasi, sekali gus menangkis persepsi bahawa ketidakupayaan adalah halangan kepada penyertaan aktif dalam kehidupan sosial.
Katanya, masih banyak dalam kalangan masyarakat yang belum menyedari bahawa dengan sokongan fasiliti yang sesuai, pendekatan pengurusan yang inklusif serta kefahaman yang betul, OKU juga berkeupayaan menyertai aktiviti fizikal dan menyumbang secara aktif dalam pembangunan komuniti sukan.