Diterbitkan pada 29 Jun 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dan Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) telah mengadakan kunjungan ke The Prince of Songkla University (PSU), Hatyai University (HU) dan Thaksin University (TSU).

Menurut Pengarah Program YBrs. Dr. Rozilah Rajmi, tujuan utama delegasi UiTM Cawangan Perlis ke sana adalah untuk merancang kerjasama pengantarabangsaan strategik merangkumi penganjuran bersama pertandingan inovasi seperti The 7th International Innovation, Design, and Articulation 2025 (i-IDeA 2025), pembangunan produk inovasi bersama, perkongsian makmal penyelidikan dan penyertaan dalam projek komuniti berimpak tinggi.

Ujar beliau, perancangan kerjasama perantarabangsaan ini memberi peluang kepada warga universiti untuk terlibat dalam projek berskala antarabangsa, antaranya membuka akses kepada sumber dan kepakaran luar dan meningkatkan pengalaman pembelajaran dan penyelidikan merentas budaya.

Kolaborasi memfokuskan pembangunan teknologi hijau, kejuruteraan bahan, pertanian pintar, sains data dan pembangunan lestari yang relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.

“Perbincangan juga menjurus kepada aktiviti penyelidikan bersama serta program pertukaran jangka pendek dan mobiliti akademik bagi pelajar dan staf,” kata beliau lagi.

YBrs Dr Khwanchit Suwannoppharat mengalakkan program bercirikan pembangunan komuniti luar bandar semasa sesi mesyuarat di Thaksin University.

Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), Puan Nur Syafiqah Rahim berkata perbincangan bersama-sama universiti di Thailand ini amat penting dalam usaha menjadikan UiTM sebagai hab inovasi dan penyelidikan serantau.

“Terdapat potensi untuk mendapatkan geran penyelidikan antarabangsa dan persepadanan bersama melalui agensi pembiayaan Malaysia dan Thailand dan merancang pembangunan produk bersama yang berpotensi untuk dikomersialkan,” kata beliau.

“Melalui pelibatan aktif dalam pelbagai projek antarabangsa, penerbitan bersama dan pameran inovasi global, kerjasama ini dapat meningkatkan reputasi UiTM sebagai universiti yang progresif dan terbuka kepada kolaborasi rentas sempadan,” hurai beliau lagi.

Pada masa yang sama, Ketua Pembangunan Pelajar (PSU), YBrs. Puan Yaowalak Kunaworakul menyambuat baik kerjasama penyelidikan dan inovasi yang mengfokuskan kepada aspek pembangunan pelajar dan profesionalism warga akademik di universitinya.

“Pastinya PSU akan memanjangkan tawaran program-program berciri pendidikan dan penyelidikan yang dibuat oleh UiTM dengan semua fakulti dan pusat pengajian di PSU dan akan berhubung dengan segera untuk perancangan yang lebih lanjut,” kata beliau.

Selain itu, Pegawai Unit Hubungan Antarabangsa (HU), YBrs Puan Sutida Promeiad, berkata universitinya amatlah menyokong usaha baik ke arah kolaborasi antarabangsa bagi menyokong dan mencapai matlamat dan tujuan bidang-bidang strategik.

“HU amaltlah menyokong kerjasama berbentuk silang bidang, silang kepakaran dan silang budaya bersama UiTM dalam usaha memastikan kedua-dua universiti menjadi hub pendidikan dan penyelidikan antarabangsa,” katanya.

Semasa kunjugan ke Thaksin University (TSU), Pegawai mewakili Presiden Pejabat Hubungan Antarabangsa TSU, YBrs. Dr Khwanchit Suwannoppharat berkata universitinya amatlah mengalu-alukan kehadiran delegasi UiTM untuk mewujudkan kerjasama antarabangsa terutamanya dalam bidang teknologi polimer dan seni kreatif.

Beliau juga amatlah mengalu-alukan penyertaan UiTM dalam program pembangunan komuniti yang melibatkan pelajar dalam usaha merealisasikan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Para pegawai TSU menyantuni delegasi UiTM ke beberapa lawatan pusat pentadbiran di Thaksin University (TSU)

“TSU juga ingin mengalu-alukan penyertaan UiTM dalam program International Social Innovation Camp 2025 yang akan menganjurkan sinergi penjanaan idea inovasi oleh para peserta yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk memacu perkembangan komuniti terfokus,” kata beliau.

Kunjungan ke tiga buah universiti di Thailand tersebut berakhir dengan beberapa sesi lawatan ke unit-unit penyelidikan, antarabangsa dan pentadbiran di universiti masing-masing.

Delegasi UiTM telah disertai oleh mantan Koordinator UPIK, YBrs. Dr Ang Lee Sin; Timbalan Pendaftar (Hal Ehwal Akademik), Puan Hafidzah Abdul Aziz dan para pensyarah UiTM Cawangan Perlis.

Kredit Foto: Universiti Teknologi MARA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi