Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 08:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernahkah anda terfikir bahawa terdapat tumbuhan yang hanya hidup di satu lokasi kecil di dunia dan tidak boleh ditemukan di tempat lain? Dalam bidang biogeografi, fenomena ini dikenali sebagai endemik.

Istilah endemik merujuk spesies yang wujud secara semula jadi dan berada hanya dalam kawasan geografi tertentu, sama ada pada peringkat negara, benua, pulau, ekosistem atau habitat yang sangat khusus. Dalam erti kata lain, spesies endemik adalah unik kepada satu tempat sahaja dan tidak akan ditemukan secara semula jadi di mana-mana lokasi lain di dunia.

Malaysia merupakan antara 12 negara megabiodiversiti dunia dan kekayaannya terletak pada kepelbagaian hutan hujan tropika. Negara ini menampung pelbagai jenis ekosistem seperti hutan bakau, paya gambut, hutan kerangas, hutan dipterokarpa tanah rendah, hutan pergunungan dan bukit batu kapur. Setiap habitat ini menyokong komuniti tumbuhan yang tersendiri dan menjadi tempat tinggal kepada banyak spesies endemik yang tidak ditemukan di tempat lain. Dianggarkan kira-kira 15 000 spesies tumbuhan vaskular di Malaysia, termasuklah lebih 8300 spesies di Semenanjung Malaysia dan 12 000 spesies di Sabah dan Sarawak. Sekitar 30 peratus spesies di Semenanjung Malaysia dan lebih 42 peratus di Sabah dan Sarawak adalah endemik.

Spesies endemik lazimnya mempunyai keperluan habitat yang sangat spesifik dan sensitif terhadap perubahan persekitaran, sekali gus menjadikannya petunjuk terhadap tahap kesihatan sesuatu habitat. Kehadiran atau kehilangan spesies ini mencerminkan kualiti habitat secara langsung. Sebagai contoh, jika berlaku penurunan populasi sesuatu spesies, keadaan ini sering kali menandakan gangguan seperti kehilangan habitat, pencemaran, perubahan iklim atau kemasukan spesies invasif. Hal ini menjadi lebih kritikal apabila spesies tersebut hanya wujud di kawasan kecil seperti pulau atau hutan batu kapur yang menjadikan spesies ini lebih terdedah kepada kepupusan.

Tumbuhan endemik memainkan peranan yang penting bukan sahaja sebagai khazanah biodiversiti, malah sebagai penunjuk kepada kestabilan ekosistem. Oleh sebab itu, pemantauan terhadap spesies ini amat diperlukan kerana membantu saintis mengenal pasti ancaman awal terhadap ekosistem dan seterusnya merancang tindakan pemulihan yang lebih berkesan.

Menyedari akan risiko kepupusan yang dihadapi oleh tumbuhan endemik, pelbagai inisiatif pemuliharaan telah dilaksanakan, khususnya melalui pendekatan pemuliharaan ex situ. Kaedah ini melibatkan konservasi spesies di luar habitat asalnya, misalnya melalui penanaman di taman botani. Sebagai contoh, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerusi Program Biodiversiti Flora di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) telah menjalankan aktiviti pengumpulan benih dan anak pokok spesies endemik. Bahan tanaman ini kemudiannya dipelihara di Taman Botani Kepong, arboretum serta kawasan perlindungan yang dikenal pasti. Tujuan usaha ini dilaksanakan adalah untuk memastikan pemeliharaan jangka masa panjang, bukan sahaja dari segi kelangsungan pokok, malah mengambil kira pengekalan kepelbagaian genetik melalui pembentukan koleksi hidup.

Selain berfungsi sebagai pusat konservasi ex situ, taman botani juga memainkan peranan yang penting sebagai tapak penyelidikan botani dan hortikultur serta pusat pendidikan alam sekitar yang dapat meningkatkan kesedaran awam. Di sinilah tumbuhan endemik dan terancam yang jarang-jarang ditemukan seperti merawan kanching (Hopea subalata) dan serdang endau (Livistona endauensis) ditanam semula untuk tujuan pemeliharaan jangka masa panjang. Koleksi hidup ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan, malah menyediakan sumber penting untuk kajian taksonomi, pembiakan dan biologi pemuliharaan oleh para penyelidik dari FRIM dan agensi luar.

Pemeliharaan tumbuhan endemik bukan sekadar usaha untuk menyelamatkan satu spesies tumbuhan tetapi pelaburan strategik dalam memastikan kelestarian fungsi ekosistem dan kesejahteraan manusia. Tindakan seperti penanaman semula, pemantauan habitat, kerjasama komuniti serta penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Sebagai contoh, pihak berkuasa memainkan peranan yang penting dalam memantau kawasan hutan simpan kekal yang mengandungi spesies tumbuhan endemik serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti terlarang di kawasan tersebut. Institusi penyelidikan dan universiti pula harus giat menjalankan kajian berkaitan dengan konservasi ex situ, selain menganjurkan program kesedaran awam seperti penanaman semula dan pemuliharaan sumber genetik spesies endemik dan terancam.

Sementara itu, komuniti setempat dan penduduk kampung turut berperanan dalam menjaga habitat hutan serta menyertai aktiviti projek konservasi yang dianjurkan. Setiap pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza, namun matlamatnya tetap sama, iaitu memastikan warisan semula jadi ini terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Hopea subalata

Hopea subalata merupakan spesies endemik Semenanjung Malaysia yang hanya ditemukan di satu lokasi, iaitu Hutan Simpan Kanching, Selangor. Spesies ini dikategorikan sebagai Terancam (Endangered) dalam Senarai Merah Malaysia. Ancaman utama terhadap spesies ini ialah pembangunan yang pesat di kawasan sekitarnya yang telah menjejaskan habitat asal. Sebagai langkah pemuliharaan, pihak FRIM telah melaksanakan usaha ex situ dengan menanam anak pokok Hopea subalata di luar habitat asalnya, iaitu di kawasan Taman Botani Kepong.

Livistona endauensis

Pokok Livistona endauensis merupakan tumbuhan endemik Semenanjung Malaysia yang hanya ditemukan di Ulu Endau (Johor), Rompin (Pahang) dan Bukit Bauk (Terengganu). Spesies ini telah disenaraikan oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) sebagai Hampir Terancam (Near Threatened) disebabkan oleh populasinya yang berpecah dan terhad kepada kawasan tertentu. Kadangkala, pokok ini ditanam sebagai pokok landskap kerana nilai estetiknya yang tinggi dengan daunnya berbentuk kipas besar yang membentuk mahkota sfera, sekali gus memberikan daya tarikan visual yang menarik.

Rafflesia tiomanensis

Rafflesia tiomanensis ialah spesies bunga parasit yang sangat unik. Spesies ini ditemukan di hutan dipterokarpa tanah rendah berhampiran dengan Kampung Juara Pulau Tioman, Pahang. Rafflesia tiomanensis menjadi spesies endemik eksklusif di Pulau Tioman kerana hanya diketahui daripada satu lokasi dan jarang-jarang ditemukan.

Berdasarkan kriteria penilaian IUCN, spesies ini diklasifikasikan secara sementara sebagai Mudah Terancam (Vulnerable) disebabkan oleh kawasan taburannya yang sangat terhad dan populasi yang diketahui sangat kecil (kurang daripada 10 individu). Bunga Rafflesia tiomanensis sering menjadi tarikan utama pelancong. Kewujudan spesies unik ini dapat meningkatkan potensi Pulau Tioman sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.

Codonoboea kenaboiensis

Codonoboea kenaboiensis hanya ditemukan di tebing berbatu dan tebing tanah sungai di satu lokasi, iaitu di Taman Negeri Kenaboi, Negeri Sembilan. Codonoboea kenaboiensis tergolong dalam kumpulan tumbuhan Rheophyte, iaitu tumbuhan yang hidup secara semula jadi di kawasan berair deras seperti jeram, tebing sungai berbatu atau kawasan yang mengalami banjir bermusim.

Penilaian dalam Senarai Merah Malaysia menunjukkan bahawa spesies ini diklasifikasikan sebagai Mudah Terancam (Vulnerable) kerana populasinya yang sangat kecil dan hanya wujud di satu lokasi, di samping terdedah kepada impak perubahan iklim seperti kejadian banjir yang kerap.

Vatica yeechongii

Vatica yeechongii merupakan spesies endemik Semenanjung Malaysia yang hanya diketahui wujud di dua lokasi, iaitu Hutan Simpan Sungai Tekala (Selangor) dan Hutan Simpan Setul (Negeri Sembilan). Spesies ini dikategorikan sebagai Sangat Terancam (Critically Endangered) disebabkan oleh populasinya yang sangat kecil serta ancaman terhadap habitat asalnya akibat pembangunan infrastruktur dan aktiviti rekreasi di kedua-dua lokasi tersebut. Usaha konservasi secara in situ dan ex situ telah dijalankan oleh pihak Jabatan Perhutanan serta FRIM untuk memastikan kelangsungan spesies ini melalui pemantauan, penanaman semula dan pemeliharaan habitat semula jadi.

Thismia malayana

Thismia malayana tergolong dalam kumpulan Mycoheterotrophic (tumbuhan yang tidak berfotosintesis dan mendapatkan nutrien sepenuhnya melalui simbiosis dengan kulat mikoriza). Saiznya yang sangat kecil, yakni sekitar dua hingga lima sentimeter sahaja di lantai hutan menyebabkan spesies ini sukar dikesan tanpa pemerhatian yang teliti. Tumbuhan ini juga hanya ditemukan di dua lokasi di Semenanjung Malaysia, iaitu Hutan Simpan Gunung Angsi (Negeri Sembilan) dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal (Pahang). Nama spesifik malayana diambil bersempena dengan “Malaya” sebagai pengiktirafan terhadap kawasan geografinya yang endemik.

Selain itu, struktur bunganya yang kompleks dan sifatnya yang bergantung pada kulat mikoriza menjadikannya subjek penting dalam kajian evolusi tumbuhan tidak berfotosintesis dan simbiosis akar. Mengikut kriteria IUCN, spesies ini diklasifikasikan sebagai Mudah Terancam (Vulnerable) kerana populasinya kecil, taburannya sangat terhad dan lokasinya terdedah kepada gangguan manusia seperti pemijakan di denai pendakian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi