Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Untuk memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat, jelas dan boleh dipercayai serta mengelakkan kesilapan fakta atau interpretasi yang boleh menjejaskan kualiti dan integriti sesuatu kajian, perhatian yang mendalam terhadap penulisan artikel saintifik adalah penting.

Demikian inti pati yang dikongsikan oleh Profesor Madya di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Azmin Mohamad ketika menyampaikan ceramah dalam program i-COSTECH 2025: Bootcamp: Crafting Quality Writing for Publication bersempena dengan the 3rd International Science and Technology Colloquium 2025 di Dewan Astana, Hotel Sentral Seaview, Pulau Pinang.
Dalam program tersebut, beliau menyatakan bahawa bab pengenalan sesebuah artikel penyelidikan merupakan ruang coretan penting bagi membolehkan penulis memperkenalkan isu kajian, konteks dan objektif penyelidikan.
Ujar beliau,
Mulakan bahagian ini dengan latar belakang umum sesuatu isu atau masalah dan memberikan tumpuan kepada jurang pengetahuan di samping kenyataan objektif kajian dengan jelas menggunakan gaya penulisan daripada umum kepada khusus.
Mengenai ulasan literatur pula, beliau menyarankan sitasi atau rujukan artikel yang dimasukkan ke dalam penulisan sekurang-kurangnya diambil dalam tempoh lima tahun kebelakang agar kajian yang ingin diterbitkan kekal relevan dan terkini.
Tambahnya,
Ulasan literatur juga perlu mempunyai elemen perbandingan dapatan kajian terdahulu yang dianalisis dengan lebih spesifik dan memfokuskan jurang kajian lalu yang cuba diatasi dengan mengunakan sumber dan format rujukan yang betul.
Beliau yang pernah tersenarai dalam dua peratus teratas (Top 2%) saintis terbaik dunia oleh Stanford University, Amerika Syarikat menyatakan bahawa penulisan metodologi kajian haruslah dinyatakan dengan jelas tentang reka bentuk kajian, kaedah pengumpulan data, lokasi kajian dan sampel yang diambil.
”Senaraikan alat, bahan dan instrumen yang digunakan di samping analisis statistik yang dijalankan serta justifikasi penggunaannya bagi memudahkan pembaca memahami kaedah saintifik yang dipilih,” kata beliau.
Selain itu, beliau juga menasihati para penulis agar memfokuskan bahagian yang paling penting dalam penulisan artikel, iaitu bahagian dapatan kajian dan perbincangan.
Katanya,
Gunakan pelbagai elemen grafik berbentuk jadual, graf atau gambar rajah yang menarik serta berkualiti untuk meringkaskan dapatan kajian dan membandingkan hasil dapatan yang diperoleh dengan kajian lepas.

Berkenaan dengan bab penutup, beliau memberikan panduan agar bahagian ini menyingkap ringkasan dapatan utama secara padat dan dinyatakan sumbangan kajian kepada pengetahuan, dasar atau manfaat kepada negara atau komuniti yang terlibat.
Beliau juga berkata, penulisan abstrak dan tajuk kajian hendaklah ditulis dengan penuh teliti pada peringkat akhir penulisan manuskrip bagi mendapatkan idea dan wajah sebenar keseluruhan manuskrip yang ditulis.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta agar para penulis untuk melihat potensi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang banyak membantu dalam penghasilan artikel berkesan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Program i-COSTECH 2025, YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi berkata, teknologi AI kini menjadi satu daripada penggerak utama inovasi pada peringkat global dan menyatukan kepakaran ahli akademia dan para penyelidik prolifik serta sokongan industri bagi melonjakkan potensi teknologi ini.

Kata beliau,
Menyedari keperluan teknologi AI yang semakin rancak digunakan, Kerajaan Malaysia telah membuat pelaburan yang besar kepada institusi pada tahun ini menerusi bajet yang diumumkan.
Beliau memaklumkan bahawa para penyelidik muda seharusnya mengambil peluang ini untuk memperkasakan penulisan berilmiah dan saintifik dengan teknologi AI dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan visibiliti negara dalam arena penyelidikan dan penerbitan.
Namun demikian, beliau juga menegaskan bahawa penggunaan teknokogi AI yang tidak mampan boleh menyebabkan teknologi ini disalahgunakan dan melanggar batas moral dan etika.
“Saya berharap para peserta dapat meneroka dan menilai penggunaan teknokogi AI dalam memudahkan urusan menjana idea penyelidikan yang bernas dan menghasilkan manuskrip yang berkualiti merentas zaman,” kata beliau.
Program i-COSTECH 2025: Bootcamp: Crafting Quality Writing for Publication telah mengumpulkan sebanyak 48 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar pascasiswazah dan pensyarah dari pelbagai universiti dan bidang kajian.

Turut hadir ialah Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim; Mantan Dekan Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Profesor Dr. Haji Khudzir Haji Ismail; Ketua Pengarah Program II i-COSTECH 2025, YBrs. Dr. Rizana Yusof serta tetamu undangan lain.