Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya telah disenaraikan di kedudukan ke-18 dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2025 oleh Startup Genome, sekali gus meletakkannya pada kedudukan ke-20 Ekosistem Startup Membangun yang terbaik di dunia.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, pencapaian tersebut mencerminkan hasil daripada pelaksanaan agenda inovasi nasional yang diselaraskan yang merangkumi program strategik pembangunan ekosistem startup serta usaha mobilisasi modal yang kini menunjukkan impak yang jelas.

Katanya, GSER yang diiktiraf sebagai analisis ekosistem startup yang komprehensif di dunia telah menilai lebih daripada 300 bandar di lebih 100 buah negara dan menonjolkan perkembangan Kuala Lumpur dalam aspek prestasi, pembiayaan, pembangunan bakat serta capaian pasaran.

Ujar MOSTI,

Menurut Startup Genome, pembiayaan pada peringkat awal di Kuala Lumpur telah mencecah RM1.5 bilion (USD 368 juta) dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu, iaitu peningkatan lebih 40 peratus berbanding dengan laporan sebelumnya.

Tambahnya, peningkatan tersebut juga mencerminkan tahap keyakinan pelabur yang semakin kukuh serta momentum pertumbuhan ekosistem yang memberangsangkan.

MOSTI berkata, peningkatan kedudukan global ini disumbangkan oleh ekosistem inovasi yang semakin matang serta dicetuskan oleh visi dasar jangka panjang Malaysia yang berlandaskan Ekonomi MADANI.

Katanya juga, kemajuan tersebut merupakan hasil daripada dua strategi nasional penting yang bertujuan untuk meningkatkan landskap ekosistem startup, iaitu Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) yang dilancarkan pada tahun 2021 dan Pelan Tindakan KL20 yang diperkenalkan pada April 2024.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan yang sama berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar pengiktirafan Kuala Lumpur pada peringkat antarabangsa, malah mencerminkan kemajuan sebenar yang telah dicapai di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, yakni inovasi, keusahawanan dan teknologi menjadi pemacu kepada aspirasi ke arah sebuah ekonomi yang bernilai tinggi dan inklusif.

Jelas beliau,

Kemajuan yang dicapai itu adalah hasil daripada dasar yang dirangka secara terancang serta usaha berterusan dalam pembinaan institusi menerusi Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia yang telah membina asas penting bagi pertumbuhan dalam tiga aspek utama, iaitu pembentukan modal; pembangunan bakat dan kerangka peraturan, sekali gus merangsang kemajuan ekosistem permulaan negara.

Tambah beliau, Pelan Tindakan KL20 kemudiannya telah mempercepat dan memperkukuh usaha berkenaan dengan memperluas akses kepada pembiayaan, menarik bakat global serta meningkatkan keyakinan para pelabur.

Secara keseluruhannya, kedua-dua inisiatif tersebut bergerak seiring dengan visi nasional untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-20 ekosistem startup membangun yang terbaik di dunia menjelang tahun 2030.

Ulas beliau,

Di bawah kepimpinan MOSTI serta Cradle Fund sebagai agensi pelaksana utama, kami bekerjasama dengan rakan strategik dari sektor awam dan sektor swasta bagi memperkukuh ekosistem startup negara.

Menurut beliau, usaha tersebut turut memberikan tumpuan kepada pemerkasaan pengasas syarikat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi startup global, bakat berkemahiran tinggi dan pelabur.

Penyenaraian Kuala Lumpur pada kedudukan ke-20 Ekosistem Startup Membangun Terbaik Dunia merupakan satu pencapaian yang signifikan, berbanding dengan kedudukannya antara 21 ke 30 bagi tempoh tahun 2022 hingga tahun 2024.

Beliau juga menyatakan bahawa peningkatan tersebut melambangkan momentum kukuh hasil daripada penyelarasan dasar dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

Tambahnya,

Satu daripada pemacu utama kejayaan ini ialah peningkatan ketara dalam skor capaian pasaran, iaitu melonjak daripada dua kepada 10 yang menggambarkan keupayaan startup Malaysia yang semakin tinggi dalam menembusi pasaran antarabangsa, melangkaui sempadan domestik serta berdaya saing pada peringkat global.

Berdasarkan laporan pada tahun ini, Startup Genome menunjukkan beberapa pemacu utama yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Kuala Lumpur dalam landskap ekosistem startup global, termasuklah prestasi ekosistem, bakat tempatan, ketersediaan modal dan capaian pasaran.

Katanya lagi, ekosistem inovasi Malaysia kini sedang berkembang pesat dan menuju ke tahap berprestasi tinggi dengan adanya lebih daripada 4400 startup telah disokong di bawah inisiatif nasional Tetingkap Tunggal MYStartup.

Maklumat lanjut berkaitan dengan hal ini boleh diperoleh dengan memuat turun Laporan GSER 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi