Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Kunjungan delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis ke Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. menandakan usaha serius untuk mempertemukan kekuatan akademik dengan keperluan industri bagi melonjakkan inovasi yang berdaya saing.
Lawatan rasmi ini dilaksanakan melalui Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) serta Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) UiTM Cawangan Perlis, selaras dengan aspirasi universiti untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dengan pengaplikasian sebenar di lapangan.
Melalui pelawaan daripada Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. dan Aafiyat Marketing Sdn. Bhd., delegasi UiTM Cawangan Perlis telah berkunjung ke ibu pejabat dan gudang syarikat tersebut bagi membincangkan kemungkinan kerjasama yang memberikan manfaat dua hala.
Menurut Koordinator UPIK, Puan Nur Syafiqah Rahim, pertemuan ini turut membuka peluang penyertaan Aafiyat sebagai penaja pertandingan 7th International Innovation, Design, and Articulation (i-IDeA) 2025 yang akan berlangsung pada September nanti.

Beliau menjelaskan bahawa kunjungan ini membawa lebih daripada sekadar perbincangan penajaan kerana usaha ini memperlihatkan potensi jalinan kerjasama dalam tempoh jangka panjang dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk dan pembinaan kepakaran.
Pendedahan secara langsung terhadap struktur operasi dan pendekatan inovasi yang diamalkan oleh Aafiyat memberikan nilai tambah kepada ahli akademik dalam memahami corak permintaan pasaran semasa.
Pensyarah yang terlibat dalam kunjungan ini berpeluang menilai semula pendekatan penyelidikan sedia ada agar lebih relevan dengan keperluan industri serta lebih berpotensi untuk dikomersialkan.
Kunjungan ini turut memberikan inspirasi baharu dalam membentuk produk inovatif yang menepati keperluan pengguna dan boleh dikembangkan secara realistik dalam pasaran.
Delegasi UiTM Cawangan Perlis juga membincangkan beberapa bentuk kolaborasi dalam program pembangunan mahasiswa serta perkongsian kepakaran menerusi pelaksanaan projek bersama.
Perbincangan tersebut merangkumi pertukaran pandangan mengenai pemupukan minat terhadap inovasi berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan penjanaan idea melalui dapatan penyelidikan saintifik.

Antara yang menyertai kunjungan hormat ini termasuklah mantan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Dr. Haji Khudzir Hj Ismail; Koordinator Pengurusan Penyelidikan, Dr. Muhammad Faiz Pa’suya; serta wakil dari Stesen Penyelidikan Marin UiTM (MARES) dan sekretariat i-IDeA 2025.
Pihak Aafiyat pula diwakili oleh Pengarah Teknikal, Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abd Aziz serta beberapa ketua jabatan yang bertanggungjawab dalam farmaseutikal, inovasi, pengeluaran dan pembangunan produk baharu.
Delegasi UiTM Cawangan Perlis turut diberikan penerangan berkenaan pendekatan syarikat dalam mengurus penyelidikan dan pembangunan produk, termasuklah pelaksanaan projek berimpak tinggi yang sedang berjalan.

Selain sesi pembentangan, lawatan ke gudang Aafiyat Marketing Sdn. Bhd. membolehkan peserta melihat sendiri rangkaian logistik dan proses pengeluaran produk berasaskan penyelidikan yang telah dipasarkan.
Keseluruhan sesi lawatan memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam membina hubungan yang saling menguntungkan dan mampu menghasilkan penyelidikan terarah yang lebih berkesan.
Peluang yang diwujudkan melalui kunjungan ini diyakini dapat menjanakan kerjasama baharu yang lebih luas dan terus berkembang menerusi platform akademik dan industri.
Kredit foto: Puan Dyia Syaleyana Md Shukri