Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal bertekad untuk merealisasikan visi “Malaysia Bebas Rokok” menjelang tahun 2040, meskipun tempoh tersebut hanya berbaki 15 tahun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan visi tersebut sebagai suatu cita-cita yang berani dan menuntut iltizam daripada semua pihak.

“Visi ini hanya mampu dicapai melalui komitmen bersama dan ketegasan dalam pelaksanaan dasar yang bertunjangkan kepentingan awam,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan di Universiti Cyberjaya bersempena dengan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 semalam.

Tegas beliau,

Pada hari ini, kita bukan sahaja berhadapan dengan produk yang memudaratkan, tetapi dengan sebuah industri bernilai berbilion dolar yang telah mengubah ketagihan menerusi penggunaan peranti, perisa manis, dan pemasaran yang menarik yang disasarkan secara khusus kepada golongan belia.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), beliau memaklumkan bahawa prevalens merokok dalam kalangan dewasa menunjukkan penurunan daripada 22.4 peratus pada tahun 2019 kepada 19.8 peratus pada tahun 2023.

“Namun, kebimbangan baharu timbul apabila penggunaan vape merekodkan peningkatan daripada 4.9 peratus kepada 5.1 peratus, terutama dalam kalangan remaja,” katanya.

NHMS 2022 turut mendedahkan bahawa sebanyak 60 000 remaja di negara ini merupakan pengguna dadah semasa, manakala lebih 100 000 orang rakyat Malaysia pernah mencuba bahan terlarang seperti ketum dan metamfetamin.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly menyuarakan kebimbangannya terhadap kes kematian pada usia muda akibat penyakit berkaitan dengan ketagihan termasuklah kanser, penyakit paru-paru kronik dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) yang berpunca daripada pengaruh rakan sebaya serta manipulasi pemasaran industri.

Dalam usaha membendung situasi ini, KKM terus memperkukuh pendekatan menyeluruh melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024 bagi mengehadkan pemasaran dan penjualan semua produk tembakau dan vape, terutama kepada golongan muda.

Begitu juga dengan peluasan capaian Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok (mQuit Sevices) yang memasuki fasa keempat, menjadikannya lebih mudah diakses menerusi platform digital.

Tambah beliau lagi, Inisiatif Kesihatan Paru-paru Kebangsaan 2025–2030 telah meletakkan keutamaan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam mengesan penyakit paru-paru, selain memperkenalkan perkhidmatan saringan bergerak.

Jelas beliau, KKM menumpukan perhatian terhadap pendidikan kesihatan pada peringkat sekolah melalui pelaksanaan program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), yang memberikan latihan kepada kaunselor sekolah bagi membina daya tahan belia terhadap pengaruh tabiat merokok.

KKM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan masyarakat awam dan sektor korporat dengan pelibatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), serta syarikat korporat seperti Maybank, Johnson & Johnson dan AstraZeneca.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menerima pakai Resolusi Kesihatan Paru-paru Malaysia secara rasmi semasa Persidangan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada 23 Mei yang lalu.

Detik bersejarah itu telah menjadikannya sebagai suatu resolusi global pertama yang meletakkan kesihatan paru-paru sebagai tumpuan utama dalam agenda kesihatan awam sedunia.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran maskot rasmi Inisiatif Kesihatan Paru-paru Malaysia, “Pak Lung” yang menjadi simbol keberanian dan perjuangan bersama untuk melindungi kesihatan paru-paru dan nyawa generasi masa hadapan.

Sebanyak 100 maskot “Pak Lung” bakal ditempatkan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran awam dan menyokong program jangkauan komuniti, selain menghubungkan kempen kesihatan paru-paru dengan usaha pemuliharaan harimau Malaya dan ekopelancongan.

Pelancaran maskot rasmi Inisiatif Kesihatan Paru-paru Malaysia, “Pak Lung”.
Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi