Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah sedekad menerbitkan penulisan berteraskan data dan dapatan saintifik bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya menghimpunkan semua hasil penulisan penyelidiknya dalam buku Sedekad Cakna Saintifik FRIM–Dewan Kosmik (2014-2023) yang dilancarkan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, hari ini.

Buku Sedekad Cakna Saintifik FRIM–Dewan Kosmik (2014-2023) yang menghimpunkan ratusan penulisan ilmiah tentang perhutanan.

Majlis pelancaran yang penuh bermakna itu diadakan bukan sekadar rekod penerbitan semata-mata tetapi bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang celik ilmu sains, mencintai alam dan berdaya tahan terhadap pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Majlis Pelancaran Buku Sedekad Cakna Saintifik FRIM–Dewan Kosmik (2014-2023) dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan dan YBrs. Dr. Hazami Jahari sambil disaksikan oleh tetamu kehormat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut, himpunan penulisan ilmiah yang diterbitkan dalam majalah Dewan Kosmik dari tahun 2014 hingga tahun 2023 itu merangkumi pelbagai topik penting yang ditulis dengan menggunakan gaya penulisan yang mudah difahami, relevan dan menyentuh kehidupan seharian masyarakat, sekali gus menghubungkan antara dunia penyelidikan dengan masyarakat umum.

YBhg. Dato’ Dr. Ismail Haji Parlan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Buku Sedekad Cakna Saintifik FRIM–Dewan Kosmik (2014-2023).

Ujar beliau,

Dalam era cabaran iklim global kini, penyebaran ilmu sains kepada rakyat bukan lagi menjadi pilihan tetapi suatu keperluan, maka saya percaya bahawa penulisan dalam buku ini akan turut membantu secara tidak langsung dalam menyemai minat masyarakat terhadap sains dan teknologi, khususnya dalam bidang perhutanan.

Beliau juga berpandangan bahawa penerbitan buku tersebut mencerminkan bahasa kebangsaan mampu menjadi wahana ilmu yang efektif dengan menjadikan majalah Dewan Kosmik sebagai platform penyebaran ilmu dalam bahasa Melayu, sekali gus berjaya mengetengahkan penulisan sains dan teknologi yang bermutu tinggi berbanding dengan apa-apa jurnal antarabangsa dalam bentuk yang lebih mesra pembaca.

“Saya yakin bahawa penulisan dalam buku ini akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, termasuklah para pelajar universiti, guru sains, pembuat dasar serta komuniti pencinta alam kerana kandungannya yang bernilai dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penulisan dan penyelidikan serta berupaya memperbanyak kerjasama antara institusi ilmu di negara ini,” jelasnya.

Mengakhiri ucapan perasmian, beliau turut menyeru kepada orang ramai agar menjadikan penulisan dalam buku ini sebagai titik mula kepada lebih banyak kompilasi penulisan dan lebih tinggi kesedaran demi kelangsungan alam, kelestarian ilmu dan kemajuan negara tercinta.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata, DBP menawarkan kepada penyelidik FRIM untuk menerbitkan buku dalam bahasa kebangsaan yang lebih mudah difahami, khususnya untuk pengguna tempatan dan secara tidak langsung inisiatif ini akan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Katanya,

Kami sedia maklum bahawa FRIM telah banyak menerbitkan hasil penyelidikan dalam bahasa Inggeris bagi tujuan penyebaran ilmu pada peringkat antarabangsa, justeru kami ingin menawarkan kerjasama untuk menterjemahkan penerbitan tersebut ke dalam bahasa Melayu bagi manfaat pembaca tempatan.

Menyentuh tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa DBP akan memindahkan pengalaman keilmuan dan kepakaran yang dimiliki oleh pihak FRIM dalam bentuk buku untuk diedarkan ke seluruh dunia.

Ujarnya,

Saya berharap agar jalinan kerjasama ini dapat diperluas bukan hanya dalam aspek penerbitan buku, malah merangkumi pelbagai bentuk lain yang selaras dengan persefahaman yang telah dimeterai dan dibina bersama selama ini.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap masa dan komitmen yang diberikan oleh pihak FRIM sehingga terhasil khazanah buku yang menjadi saksi bahawa amanah Allah SWT untuk melestarikan alam dan menyebarkan ilmu ini telah dilaksanakan.

Persembahan deklamasi puisi Alam Khazanahku oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknikal, FRIM, YBrs. Dr. Mohamad Nasir Mat Arip.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, FRIM, YBrs. Dr. Norwati Muhammad; Timbalan Ketua Pengarah Operasi, FRIM, Encik Mahmudin Saleh; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP; Ketua Editor Bahagian Buku Umum, YM Tengku Fauziah Ku Mat; wakil agensi kerajaan dan swasta; para penulis; rakan media dan para pengunjung PBAKL 2025.

Sebahagian daripada penulis artikel dalam majalah Dewan Kosmik bergambar bersama-sama tetamu kehormat dalam Majlis Pelancaran Buku Sedekad Cakna Saintifik FRIM–Dewan Kosmik (2014-2023).
Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi