Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jeram – Sains, tumbuh-tumbuhan dan kelestarian alam menjadi pengisian utama dalam program STEM “Roots, Shoots and Me” (RSM) anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor yang dilaksanakan bersama-sama Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Batu 20, Kuala Selangor.

Program tersebut berlangsung selama dua minggu bermula pada 8 Mei 2025dan melibatkan 261 orang murid Tahun Empat hingga Tahun Enam dengan bimbingan serta penyelarasan fasilitator daripada kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) dari Fakulti Pendidikan, UiTM Cawangan Selangor

Sepanjang pelaksanaan program, empat sesi pengayaan ilmu telah dikendalikan oleh fasilitator yang merangkumi aspek pengetahuan tentang jenis tumbuhan, biji benih, peranan tumbuhan dalam kehidupan, pembuatan buku skrap tumbuhan dan herba yang memberikan manfaat kepada kesihatan dan ekosistem.

Murid juga diberikan masa selama dua minggu untuk menyiapkan buku skrap tersebut mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan pengetahuan yang diperoleh dalam sesi pembelajaran dan hasil kerja mereka seterusnya dinilai serta dipertandingkan dalam kalangan peserta.

Kemuncak program berlangsung pada 28 Mei 2025 yang diisi dengan sesi penyampaian ceramah bertajuk “Sains dan Iktibar daripada Tumbuh-tumbuhan” yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan (Fisiologi) dari FSK, UiTM Cawangan Selangor, YBrs. Dr. Razif Dasiman.

Ceramah tersebut mengupas isu berkaitan dengan kelestarian alam seperti peranan tumbuhan dalam pengekalan biodiversiti dan ekosistem, kesan negatif akibat kemusnahan habitat serta kelebihan pemakanan berasaskan tumbuhan yang menyumbang kepada kesihatan manusia.

Penceramah, YBrs. Dr. Razif Dasiman berinteraksi secara langsung bersama-sama murid SK Jeram Batu 20 dalam sesi ceramah program STEM RSM yang mengupas peranan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan dan kelestarian alam.

Sesi ceramah turut diikuti dengan pertandingan kuiz STEM RSM yang memerlukan murid menjawab soalan berdasarkan semua sesi pengayaan ilmu sepanjang program berlangsung.

Murid SK Jeram Batu 20 tekun menjawab soalan dalam sesi kuiz STEM RSM yang menguji kefahaman mereka terhadap ilmu sains tumbuh-tumbuhan yang dipelajari sepanjang program.
Buku skrap yang dihasilkan oleh murid menonjolkan kreativiti murid dalam meneliti dan mendokumentasikan pelbagai spesies tumbuhan dan herba melalui pendekatan visual dan saintifik.
Para pemenang kuiz STEM RSM dan pertandingan buku skrap diraikan atas usaha cemerlang mereka dalam memahami konsep sains berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan serta menzahirkan kreativiti melalui penghasilan buku skrap.

Menurut Penasihat Projek, YBrs. Dr. Razif Dasiman, program seperti ini berpotensi memupuk minat murid untuk mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), terutamanya alam topik berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan dan kaitannya dengan kesihatan serta penjagaan alam sekitar.

Ujar beliau,

Program ini juga merupakan satu daripada inisiatif dan peluang kepada pihak jabatan, sekolah, pelajar dan entiti penyelidikan di universiti dalam meningkatkan ketampakan dan pelibatan aktiviti bersama-sama komuniti dan masyarakat, terutamanya murid sekolah yang memerlukan bimbingan.

Tambahnya lagi, pendekatan ini sangat bertepatan dalam konteks semasa yang memperlihatkan penurunan minat dalam kalangan pelajar terhadap sains dan perlu ditangani secara berfokus dan konsisten sejak di bangku sekolah.

Majlis penutupan program turut dimeriahkan dengan gimik pelancaran STEMRSM@JEBAT20 dengan simbolik penanaman pokok bunga raya oleh Guru Besar SK Jeram Batu 20, Puan Norhanida Saaidin, bersama-sama wakil UiTM Cawangan Selangor dan murid sebagai tanda komitmen terhadap alam sekitar.

Barisan fasilitator, penceramah dan pentadbir sekolah yang menyertai program STEM RSM.

Program ini secara keseluruhannya diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan pendidikan berkualiti, kehidupan lestari, inovasi saintifik serta kerjasama merentas institusi demi membentuk generasi muda yang lebih cakna terhadap isu alam sekitar dan berdaya saing dalam bidang STEM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi