Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku 28 Spesies Mamalia di Malaysia hasil tulisan mantan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Tuan Haji Jasmi Abdul mengetengahkan maklumat berasaskan pengalaman lapangan beliau selama hampir tiga dekad dalam mengurus mamalia liar di negara ini.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024 ini dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan memperkenalkan kepada khalayak 28 spesies mamalia yang sering diuruskan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Tuan Haji Jasmi Abdul mengabadikan pengalaman mengurus mamalia liar dalam buku 28 Spesies Mamalia di Malaysia terbitan DBP.

Spesies tersebut termasuklah harimau belang, gajah, seladang, pelanduk, beruang madu, rusa dan tupai tanah yang dipilih berdasarkan pengetahuan mendalam terhadap habitat, tingkah laku dan pemakanan setiap haiwan terbabit.

Puan Ritah Yahaya selaku moderator sesi bicara karya mengajukan soalan kepada penulis buku 28 Spesies Mamalia di Malaysia, Tuan Haji Jasmi Abdul bagi mengupas kandungan dan pengalaman di sebalik penerbitan karya tersebut.
Tuan Haji Jasmi Abdul menekankan keperluan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih menyayangi dan melindungi haiwan liar sebagai sebahagian daripada khazanah alam yang tidak ternilai.

Menurut beliau, pemilihan spesies dilakukan secara teliti berasaskan pengalaman peribadi dan penyusunan fakta saintifik yang merangkumi aspek pembiakan, habitat serta ancaman terhadap kelangsungan hidup mamalia tertentu.

Penulis yang pernah bertugas dari tahun 1978 hingga tahun 2005 itu turut berkongsikan pengalaman perkhidmatan di kawasan Taman Negara, termasuklah kejadian haiwan seperti harimau dan rusa yang sering berkeliaran berhampiran dengan kediamannya.

Selain itu, beliau turut berkongsi interaksi bersama-sama komuniti Orang Asli Bateq dan pelibatan dalam ekspedisi ke Gunung Tahan yang mencabar, termasuklah usaha menyelamatkan peserta yang terjatuh atau cedera sewaktu pendakian.

Dalam sesi bicara karya yang dimoderatorkan oleh Puan Ritah Yahaya, beliau menceritakan detik cemas hampir dipijak gajah liar yang terlepas daripada tambatan semasa proses pemindahan dan kejadian serangan mengejut di Kuala Lopan sekitar tahun 2000.

Menurut beliau, sepanjang bertugas, meskipun berdepan risiko tembakan pemburu haram, tiada kecederaan dialami kerana beliau dilengkapi dengan senjata api rasmi selaku pegawai penguat kuasa dan sentiasa berwaspada ketika menjalankan operasi di lokasi berisiko tinggi seperti Royal Belum dan Tasik Banding, Perak.

Beliau juga berkongsi pengalaman menjalankan operasi menangkap buaya di sebuah kolam di Puchong serta beruang matahari di kawasan tertentu yang menuntut ketangkasan dan kewaspadaan luar jangka.

Antara mamalia yang sukar dikesan menurut beliau, termasuklah badak sumbu (Dicerorhinus sumatrenesis) yang pernah cuba ditangkap dengan menggunakan perangkap berumpankan buah-buahan.

“Berbeza daripada badak sumbu, monyet jauh lebih mudah didekati kerana sifatnya yang lebih mesra dan terbiasa dengan kehadiran manusia,” jelas beliau lagi.

Beliau menerangkan bahawa monyet sering berkeliaran mencari makanan di kawasan penempatan dan berada di bawah perlindungan undang-undang, berbeza daripada beruk yang lebih menyendiri dan lazimnya digunakan untuk mengambil buah kelapa di beberapa negeri.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai menyampaikan cenderamata penghargaan kepada penulis buku 28 Spesies Mamalia di Malaysia, Tuan Haji Jasmi Abdul.

Mengulas isu konflik antara manusia dengan haiwan, beliau mencadangkan agar papan tanda amaran lintasan haiwan dipasang di kawasan yang kerap dilalui mamalia liar kerana haiwan tidak mengenal jambatan khas yang disediakan.

“Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berisiko serta elakkan daripada melanggar haiwan kecil seperti kura-kura, ular dan biawak yang mungkin melintas secara tiba-tiba,” ujarnya lagi,

Beliau turut mengajak masyarakat agar melayari laman web rasmi Jabatan PERHILITAN untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang spesies haiwan yang sedang diancam kepupusan serta peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat awam.

Penulis juga menyarankan agar institusi pengajian tinggi menjalankan kajian lapangan secara berterusan bagi memperoleh data semasa yang dapat menyokong langkah pemuliharaan secara menyeluruh.

Katanya, pemburuan haram yang masih berlaku untuk tujuan pemakanan eksotik dan perdagangan gelap menyumbang kepada pengurangan drastik spesies tertentu di habitat asalnya.

Selain buku ini, DBP turut menerbitkan karya terdahulu beliau yang berjudul Memoir Seorang Pegawai Perhilitan yang menghimpunkan pelbagai catatan pengalaman dan tugasan sepanjang perkhidmatan.

Program pelancaran dan bicara karya ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah merangkap Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Ismail dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Puan YM Tengku Fauziah Ku Mat.

Para pengunjung boleh mendapatkan buku ini di reruai DBP yang terletak di Dewan Tun Hussein Onn sepanjang berlangsungnya PBAKL 2025 dari 23 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi