Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sambutan Hari Penyu Sedunia pada 23 Mei 2025 diraikan dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan memberikan pendedahan, meningkatkan kesedaran dan menggalakkan proses pemeliharaan dan pemuliharaan spesies penyu dan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Bagi menyemarakkan sambutantersebut, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Persatuan MARTECH dan Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Fakulti Sains Gunaan telah menganjurkan Pertandingan Cipta Slogan dan Poster Kreatif Hari Penyu Sedunia 2025 yang berlangsung di Makmal Navigasi, Bangunan Al-Farabi 3, UiTM Cawangan Perlis pada 21 Mei 2025 hingga 26 Mei 2025.

Menurut Penasihat Persatuan I MARTECH, Ts. Gs. Khairul Naim Abd Aziz, penyu memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem laut dan pantai.

“Kehadiran penyu dalam ekosistem laut menyumbang kepada keseimbangan batu karang dengan mengawal pertumbuhan berlebihan rumpai laut dan span laut,” katanya ketika ditemui semasa pertandingan berlangsung.

Para peserta menonjolkan bakat kreatif melalui penghasilan poster yang menarik, berwarna-warni dan sarat dengan mesej pemuliharaan penyu.

Beliau juga berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan populasi penyu seperti aktiviti manusia yang tidak terkawal dan kesan perubahan iklim.

Tambahnya lagi, penyu juga berpotensi menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat melalui aktiviti pelancongan marin sekiranya pengurusan spesies ini dilakukan secara berhemah.

Kata beliau,

Populasi penyu yang stabil mampu menarik pelancong dalam aktiviti selam skuba dan menjelajah persisiran pantai yang menjadikan penyu sebagai tarikan utama.

Slogan yang dicipta oleh para peserta diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai usaha menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan.

Pertandingan ini memerlukan peserta mencipta slogan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan simbol # serta menghasilkan poster yang memaparkan ilustrasi penyu sebagai syarat wajib penyertaan.

Beliau berharap agar mahasiswa dapat memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan penyu, termasuklah melalui penganjuran aktiviti berorientasikan pendidikan dan penyelidikan berkaitan dengan ekosistem laut.

Beliau turut menyambut baik penganjuran pertandingan ini yang dilihat sebagai ruang untuk mahasiswa menyerlahkan bakat seni dan pada masa sama menyampaikan mesej pemeliharaan spesies marin kepada khalayak..

Peserta program, Encik Muhammad Afham Anuar berkata, slogan “#Lindungi Penyu, Lestarikan Lautan” yang direkanya bermaksud usaha melindungi penyu secara langsung dapat membantu memelihara ekosistem laut.

Sesi pembentangan slogan dan poster tentang penyu yang dihasilkan oleh Encik Muhammad Afham Anuar di Makmal Navigasi, Bangunan Al-Farabi 3, UiTM Cawangan Perlis.

Kongsinya,

Slogan ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran bahawa setiap tindakan kecil seperti tidak membuang sampah ke laut mampu menyelamatkan seekor penyu dan seterusnya menyelamatkan ekosistem laut yang sangat kompleks.

Encik Mohamad Fikry Effendy membentangkan hasil ciptaan slogan dan poster bertemakan pemuliharaan penyu bersempena dengan sambutan Hari Penyu Sedunia 2025.

Sementara itu, Encik Mohamad Fikry Effendy turut menyatakan pandangannya bahawa mahasiswa memainkan peranan penting dalam usaha melindungi penyu melalui pendekatan kesedaran dan tindakan.

Kata beliau,

Mahasiswa boleh menyebarkan kesedaran tentang kepentingan penyu melalui kempen, ceramah atau media sosial supaya orang ramai dapat memahami ancaman yang dihadapi oleh penyu.

Beliau menambah bahawa mahasiswa juga perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan pantai serta mengurangkan penggunaan plastik yang merupakan antara punca utama kerosakan habitat penyu.

“Peluang untuk menyertai program pelepasan anak penyu atau menjadi sukarelawan menjaga sarang penyu wajar dimanfaatkan oleh mahasiswa sebagai sumbangan kepada kelangsungan hidup spesies ini,” ujarnya lagi.

Poster yang dihasilkan oleh Puan Nurfatin Farhana Mohd Amran dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Cipta Slogan dan Poster Kreatif Hari Penyu Sedunia 2025.

Hasil penjurian telah bersetuju memilih slogan dan poster yang dihasilkan oleh Puan Nurfatin Farhana Mohd Amran sebagai tempat pertama; tempat kedua dimenangi oleh Puan Nur Azmiera Huda Abd Rahim; tempat ketiga dimiliki oleh Puan Nur Fatin Izati Omar; tempat keempat disandang oleh Puan Fatin Afiqah Che Zawawi dan tempat kelima menjadi milik Puan Nur Ain Qistina Allysa Agusman.

Pertandingan ini diadili oleh enam orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada pensyarah Teknologi Marin Lestari, Ts. Gs. Khairul Naim Abd Aziz selaku ketua juri; Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Puan Nur Syafiqah Rahim; Encik Muhammad Akmal Roslani dari Fakulti Sains Gunaan; Puan Eliy Nazira Mat Nazir dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan; Encik Ray Adderley JM Gining dan Puan Nur Khairani Kamarudin yang masing-masing dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Sebahagian daripada peserta program bergambar di pekarangan Bangunan Al-Farabi 3, UiTM Cawangan Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi