Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bicara Karya Buku Lada Hitam Permata Sarawak nukilan YBrs. Dr. Wan Asrina Wan Yahaya dan YBrs. Dr. Izzah Abd Hamid @ Ghazali yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 memberikan ruang kepada para penulis untuk berkongsikan latar belakang, proses penulisan serta impak yang ingin dicapai menerusi penerbitan karya yang mengangkat lada hitam sebagai komoditi utama di Sarawak.

Dalam sesi perkongsian yang dikendalikan oleh Puan Nur Shahirah Omar itu, YBrs. Dr. Wan Asrina Wan Yahaya mendedahkan antara faktor buku berkenaan dipilih untuk diterbitkan adalah disebabkan oleh cetusan idea daripada YBrs. Dr. Izzah Abd Hamid @ Ghazali untuk menulis tentang lada hitam yang menjadi isu dalam tesis beliau, di samping buku berkaitan dengan lada hitam juga sukar diperoleh dalam bahasa Melayu.

Menurut beliau, lada hitam dipilih sebagai permata Sarawak kerana Sarawak merupakan pengeluar terbesar lada hitam.
Ujarnya,
Memang benar Semenanjung Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan pengeluar lada hitam yang terbesar, namun kini Sarawak telah mendominasi pengeluaran lada hitam di Malaysia sehinggakan Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia juga terletak di Sarawak.
Beliau juga menyatakan bahawa lada hitam merupakan satu daripada tanaman yang penting kerana menjadi punca pendapatan penduduk di Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman.
Tambah beliau,
Statistik juga menunjukkan hampir 98 peratus pengeluaran lada hitam di Malaysia adalah di Sarawak.
Dari sudut proses penulisan pula, beliau memaklumkan bahawa buku tersebut memerlukan tempoh yang lama untuk disiapkan dan melibatkan penyelidikan yang mendalam, pengumpulan data lapangan, dokumentasi visual serta bantuan dari Lembaga Lada Malaysia untuk mendapatkan sesuatu data atau cadangan petani yang berpotensi untuk ditemu bual.
Sementara itu, YBrs. Dr. Izzah Abdul Hamid @ Ghazali berkongsikan beberapa cabaran yang dihadapi dalam menghasikan buku tersebut, misalnya cabaran dari segi bahasa.

Katanya,
Saya yang merupakan anak jati Kedah terpaksa belajar bahasa Sarawak untuk berinteraksi dengan informan yang merupakan orang Sarawak dan pernah menggunakan bahasa Melayu baku untuk bertanyakan soalan kepada informan, namun informan tersebut kurang memahami soalan yang diajukan.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau menghadapi cabaran dari segi pengumpulan data.
Kongsinya,
Umum mengetahui bahawa Sarawak mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit bukau, jadi saya harus mengharungi cabaran tersebut demi mendapatkan data dan gambar yang berkualiti.
Beliau berkata, lada hitam di Sarawak ditanam di kawasan yang curam kerana menurut informan, semakin curam kawasan lada hitam itu ditanam, maka semakin berkualiti lada hitam tersebut.
Pada masa yang sama, penulis turut berkongsikan keistimewaan buku tersebut yang menggunakan Sistem Maklumat Geografi dalam penanaman lada hitam dan berupaya membantu dalam melakar peta untuk mengenal pasti data hujan, suhu, angin, hasil pertanian, penyakit dan sebagainya.
Jelas beliau, pengurusan yang lebih efektif dapat dilakukan dengan adanya penggunaan lakaran peta kerana pengurusan yang berkesan dapat membantu menurunkan kos penanaman lada hitam, di samping meningkatkan produksi ladang.
Sebelum mengakhiri sesi perkongsian tersebut, beliau berkata,
Buku yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan pendekatan yang mudah, ringkas dan padat dengan fakta serta bergambar ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada sasaran utama seperti petani, pelajar, penyelidik, orang awam serta komuniti luar bandar yang mungkin kurang terdedah kepada bahan rujukan bahasa Inggeris.
Sesi bicara karya merupakan antara pengisian program di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang aktif mempromosikan karya dan budaya tempatan sepanjang PBAKL 2025 berlangsung.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Encik M Azahari Edin: Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, YM Tengku Fauziah Ku Mat.