Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Putra Bertam – Bebola lumpur kecil atau mudball berasaskan teknologi hijau menjadi pemangkin besar dalam usaha memelihara alam sekitar melalui penganjuran Bengkel Pembuatan Bebola Lumpur (mudball) oleh Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di pekarangan Masjid Muttaqin.

Program komuniti ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk membantu mengurangkan pencemaran air dan menyemai kesedaran awam terhadap kepentingan penjagaan ekosistem secara praktikal dan berimpak tinggi.

Bebola lumpur kecil yang diperkenalkan dalam bengkel ini merupakan teknologi mesra alam yang menggabungkan bahan semula jadi seperti tanah liat, sekam padi, gula perang (molases) dan mikroorganisma efektif seperti Lactobacillus, Bacillus subtilis dan ragi.

Bebola ini diperam selama dua minggu sebelum digunakan dan mempunyai keupayaan menyahbau, memecah sisa organik serta mengurangkan pencemaran air, sekali gus memulihkan keseimbangan ekosistem sungai.

Sepanjang bengkel berlangsung, sebanyak 640 biji bebola lumpur berjaya dihasilkan dalam kalangan peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar.

Sebanyak 45 orang penduduk setempat telah terlibat dalam program ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tok Bedu, Encik Zulkifle Saad.

Sokongan melalui Geran Jaringan Industri dan Masyarakat USM menjadikan program ini sebagai bukti komitmen institusi pengajian tinggi dalam menjayakan agenda sains untuk kesejahteraan masyarakat.

Bengkel ini turut diserikan dengan syarahan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Razali dari Universiti Teknologi MARA Puncak Alam yang menekankan kepentingan melindungi sumber air sebagai warisan alam yang tidak ternilai.

Ketua Projek, YBrs. Dr. Mohd Yusmaidie Aziz pula menyatakan bahawa selain memberikan pendidikan alam sekitar, bengkel ini membuka potensi kepada pembangunan keusahawanan hijau pada peringkat komuniti.

Menurutnya, teknologi bebola lumpur adalah bersifat praktikal, inklusif dan mampu digerakkan oleh masyarakat untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar secara mampan dan berdaya saing.

Para peserta bertungkus lumus menghasilkan mudball.

Kejayaan program tersebut turut didorong oleh pelibatan tenaga akademik IPPT seperti YBrs. Dr. Muhamad Azrul Zabidi, YBrs. Profesor Madya Dr. Rafeezul Mohamed, YBrs. Dr. Mohd Syahir Mansor, YBrs. Profesor Madya Dr. Zahri Abdul Aziz dan YBrs. Dr. Nozlena Abd Samad.

Mudball yang telah digumpal dibiarkan melalui proses pengeringan sebelum disimpan selama sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dilemparkan ke dalam tasik atau sungai.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi