Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Audit keselamatan merupakan teras penting dalam menilai risiko tempat kerja secara holistik serta berkesan dan bukan sekadar melengkapkan senarai semak atau melaksanakan lawatan rutin.
Menyedari akan kepentingan tersebut, Jawatankuasa Kecil Audit (JKA) di bawah Jawatankuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (JKSHE), Agensi Nuklear Malaysia telah menganjurkan Kursus Penulisan Laporan Audit Keselamatan.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari yang bermula pada 23 Mei 2025 ini berjaya menghimpunkan sebanyak 23 orang peserta dari pelbagai bahagian teknikal yang memainkan peranan penting dalam pematuhan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Peserta kursus didedahkan dengan pendekatan menyeluruh yang merangkumi syarahan teknikal, latihan praktikal serta semakan semula senarai semak audit keselamatan makmal kendiri.
Laporan audit yang berkesan perlu disediakan secara jelas dan mudah difahami bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan tepat oleh pihak pengurusan.
“Laporan yang baik harus bersifat telus, ringkas dan mudah difahami semua pihak, bukan hanya oleh juruaudit,” ujar YBrs. Dr. Chai Chee Keong.

Antara topik yang dibincangkan sepanjang kursus termasuklah Keselamatan Kimia dan Pengurusan Sisa Makmal, Keselamatan Kerja Lapangan dan Alat Penyinaran serta Pemantauan Radiologi Alam Sekitar.

Turut disentuh ialah pelaksanaan audit berdasarkan peruntukan Akta 304, pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHEMS) serta keperluan audit keselamatan di tempat kerja.

Kursus ini juga memberikan pemahaman asas tentang audit keselamatan dan peranannya dalam pengurusan risiko tempat kerja berlandaskan perundangan dan piawaian yang relevan.
Undang-undang utama yang diterangkan termasuklah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA) dan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta pindaan terkininya.
Selain sesi pembelajaran teori, perkongsian pengalaman daripada juruaudit berpengalaman membantu peserta memahami situasi sebenar pelaksanaan audit serta pendekatan yang berkesan dalam mengenal pasti dan menilai risiko di tempat kerja.
Puan Munira Shaikh Nasir, peserta bengkel ini menyatakan bahawa kursus ini membuka mata mereka terhadap kepentingan audit dalam memastikan keselamatan sebenar di tempat kerja.
Kemahiran perancangan, pelaksanaan, pelaporan dan susulan audit turut diperhalus bagi melahirkan juruaudit dalaman yang sistematik dan berwibawa.
Pada masa yang sama, teknik mengenal pasti bahaya dan menilai risiko turut ditekankan bagi memastikan pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih berkesan.