Diterbitkan pada 25 Mei 2025, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memilih tanggal 22 Mei sebagai sambutan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologikal yang pada tahun ini bertemakan “Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Mampan“.

Antara mahasiswa UiTM Cawangan Perlis yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Poster Bersempena dengan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologikal 2025.

Untuk menyokong agenda ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Persatuan MARTECH dan Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari telah menganjurkan Pertandingan Poster Bersempena dengan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologikal 2025 yang berlangsung di Bangunan Al-Farabi 2, UiTM Cawangan Perlis pada 19 Mei 2025 hingga 23 Mei 2025.

Menurut Penasihat Persatuan MARTECH II merangkap pensyarah bidang Biologi Marin dari Fakulti Sains Gunaan, Puan Rohayu Ramli, biodiversiti merupakan komponen penting dalam menyokong keseimbangan alam semula jadi.

Ujar beliau,

Biodiversiti penting untuk menyokong sumber makanan, oksigen, bahan mentah dan ubat-ubatan selain menyumbang kepada keseimbangan dan kestabilan alam secara holistik.

Beliau juga berkata, punca kepelbagaian biodiversiti berkurangan dan pupus adalah disebabkan oleh impak aktiviti antropogenik yang semakin rakus mengeksploitasi sumber alam secara tidak terkawal.

Katanya,

Kita harus menyedari bahawa aktiviti sosioekonomi seperti perindustrian, pertanian, pembangunan dan perdagangan yang tidak diurus dengan efektif dan terancang boleh memberikan impak negatiif terhadap sumber biodiversiti, terutamanya spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang terancam kepupusannya.

Sebahagian daripada peserta yang menghasilkan poster di Bangunan Al-Farabi 2, UiTM Cawangan Perlis.

Jelas beliau, impak penurunan kepelbagaian biodiversiti negara akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.

Tambah beliau,

Negara ini kaya dengan sumber biodiversiti yang unik dan sebahagian daripada spesies serangga, mamalia, ikan, amfibia dan reptilia mungkin hanya terdapat di Malaysia sahaja dan tidak terdapat di negara lain.

Beliau juga memaklumkan bahawa serangga kelip-kelip, burung helang, batu karang dan penyu adalah antara sumber yang penting dalam membantu masyarakat setempat untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan kebudayaan jika diuruskan dengan lebih mampan.

Mesej yang disampaikan melalui poster perlu ditulis dalam bahasa Melayu bagi menyemarakkan semangat patriotik.

Pada masa yang sama, beliau juga amat menyokong penganjuran pertandingan poster ini yang berupaya memupuk semangat prihatin terhadap alam semula jadi dalam kalangan mahasiswa.

Menurutnya,

Mahasiswa merupakan harapan negara dan memainkan peranan dalam mengamalkan gaya hidup sihat seperti menyertai kempen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, aktiviti kitar semula, kempen pengurangan penggunaan plastik dan mengurangkan pelepasan gas bahaya ke udara dalam usaha melestarikan sumber biodiversiti negara.

Beliau juga menyatakan hasratnya agar mahasiswa terus menyebarkan ilmu pengetahuan melalui penganjuran program kesedaran alam sekitar dalam usaha menyokong aspirasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Puan Jasmin Hanisah Manap membentangkan poster yang dihasilkan.

Salah seorang peserta program, Puan Jasmin Hanisah Manap berkata, manfaat yang diperoleh daripada program ini ialah pemahaman tentang kepentingan ekosistem kepada manusia dan negara.

Kata beliau,

Program ini menyemai perasaan kesyukuran dan menghargai kepelbagaian sumber biologikal yang penting kepada manusia, negara dan alam semula jadi.

Sementara itu, Encik Muhammad Ikhwan Syafiq Shuhainizam yang juga salah seorang peserta program berkata, melalui penghasilan poster ini dapat menunjukkan sifat peduli yang mendalam terhadap alam sekitar serta berupaya menyampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat tentang kepentingan kepelbagaian biodiversiti dalam kehidupan seharian.

Encik Muhammad Ikhwan Syafiq Shuhainizam membentangkan poster yang berkaitan dengan kepentingan kepelbagaian biodiversiti.

Kongsi beliau,

Saya yakin melalui penganjuran program sebegini dapat menjadi pemangkin dan menanam semangat dalam diri kami sebagai mahasiswa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menjaga alam sekitar dan menjamin kelestarian biodiversiti negara.

Dalam hal ini, pihak penganjur telah meletakkan syarat utama iaitu mesej dalam poster yang dihasilkan hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja bagi menyemarakkan perasaan patriotik dalam diri para peserta.

Sebanyak lapan orang juri dari pelbagai fakulti diberikan tanggungjawab untuk memilih poster yang terbaik, antaranya termasuklah Puan Rohayu Ramli merangkap ketua juri; Penyelaras Bidang Program Teknologi Marin Lestari, Puan Aziani Ahmad; Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Puan Eliy Nazira Mat Nazir; Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Puan Nor Atikah Husna Mat Nasir; Pensyarah Fakulti Alam Bina, Puan Noorazwani Mohd Razi; Pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Encik Mohd Ashraf Zainol Abidin serta Puan Nur Khairani Kamarudin dan Encik Ray Adderley JM Gining yang masing-masing dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Hasil penjurian telah memilih poster yang dihasilkan oleh Encik Muhamad Alif Aqmar Dani sebagai tempat pertama, tempat kedua dimenangi oleh Puan Nurmashitah Nasirudin, poster Nur Ain Naslynn Natasya Muhamad Nasir mendapat tempat ketiga, manakala Puan Jasmin Hanisah Manap memperoleh tempat keempat dan poster yang dihasilkan oleh Encik Ahmad Luqman Hakim Abd Rahim pula mendapat tempat kelima.

Poster yang dihasilkan oleh Encik Muhamad Alif Aqmar Dani memperoleh tempat pertama dalam Pertandingan Poster Bersempena dengan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologikal 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi