Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Bidang teknologi marin lestari terus diperkasakan apabila Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menjalinkan kerjasama akademik menerusi sesi lawatan penanda aras secara dalam talian bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Sesi perbincangan maya melalui aplikasi Cisco Webex itu melibatkan dua program pengajian, iaitu Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis dan Sarjana Muda Sains (Sains Marin) dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT.

Program Teknologi Marin Lestari (UiTM) Cawangan Perlis telah diwakili oleh Penyelaras National Outcome Based Learning, Puan Rosnani Nazri, manakala program Sarjana Muda Sains (Sains Marin) diwakili oleh Ketua Program, YBrs. Dr. Nurulnadia Mohd Yusoff.

Menurut Puan Rosnani Nazri, penawaran program Teknologi Marin Lestari adalah sebagai langkah memenuhi keperluan semasa negara, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Puan Rosnani Nazri membentangkan rasional penubuhan program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari, UiTM Cawangan Perlis dalam sesi lawatan penanda aras secara maya menerusi aplikasi Cisco Webex.

Beliau menjelaskan bahawa program tersebut memberikan penekanan kepada tiga komponen utama, iaitu sains dan teknologi marin, pelibatan masyarakat serta aspek ekonomi dan pengurusan sumber laut.

Katanya,

Perbincangan bersama-sama dengan UMT membuka peluang untuk mendapatkan pandangan baharu yang boleh membantu menambah baik kemahiran teknikal dan insaniah pelajar serta meningkatkan peluang kerjaya graduan dalam bidang berkaitan dengannya.

YBrs. Dr. Nurulnadia Mohd Yusoff pula menyatakan bahawa pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dalam pelbagai inisiatif pendidikan dan penyelidikan demi memperkaya pengalaman pelajar dan meningkatkan kepakaran tenaga pengajar.

Menurut beliau,

Kerjasama ini dapat dimanfaatkan melalui pemadanan kepakaran tenaga akademik bagi melaksanakan program pengajaran dan projek penyelidikan yang relevan dengan keperluan industri marin.

Jelasnya lagi, program Sains Marin di UMT turut menawarkan kursus yang selari dengan perkembangan industri dan berpotensi menarik minat pelajar yang ingin menceburi bidang ini secara profesional.

Program Sarjana Muda Sains (Sains Marin) dengan Kepujian yang ditawarkan oleh UMT merangkumi pelbagai kursus berteraskan ilmu kelautan yang relevan dan menarik, sejajar dengan permintaan semasa industri marin dan pemuliharaan alam sekitar.

Sementara itu, Penyelaras Bidang Teknologi Marin Lestari, Puan Aziani Ahmad pula menyuarakan harapan agar hasil perbincangan ini dapat diterjemahkan kepada pendekatan pendidikan yang lebih dinamik dan sesuai dengan keperluan semasa industri.

Beliau turut menekankan peranan penting graduan dalam bidang ini, terutamanya dalam usaha melindungi ekosistem laut, mengurus sumber marin secara berhemah serta menjalankan pemantauan terhadap pencemaran dan biodiversiti marin.

Katanya,

Graduan juga berpotensi menyumbang dalam aspek keselamatan maritim negara, termasuklah teknologi pemantauan sempadan perairan dan pengurusan bencana di laut

Tambahnya lagi, kepakaran dalam bidang ini diperlukan bagi membantu kerajaan merangka dasar berkaitan dengan zon ekonomi eksklusif serta memperluas kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjagaan laut secara menyeluruh.

Pada masa yang sama, Gs. Idham Khalil dari UMT mencadangkan supaya teknologi dron dimanfaatkan dalam pengajaran kerana penggunaanya dapat mempertingkatkan keupayaan pelajar dalam aktiviti pemantauan marin dan pengumpulan data dengan lebih tepat dan cekap.

Sesi lawatan itu turut menyentuh pelbagai aspek lain seperti struktur kurikulum terkini, kemudahan makmal, instrumen pengajaran serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program akademik masing-masing.

Delegasi Sains Marin dari UMT yang menyertai perbincangan ini terdiri daripada YBrs. Profesor Madya Ts. ChM Dr. Ong Meng Chuan; YBrs. ChM. Dr. Tuan Mohamad Fauzan Tuan Omar; YBrs. ChM. Dr. Adiana Ghazali; YBrs. Dr. Jennie Lee; YBrs. Dr. Monliza Mohd Din; YBrs. Dr. Wan Nurzalia Wan Saelan dan Puan Meii Mohamad Norizam.

Delegasi dari UiTM Cawangan Perlis pula disertai oleh Penasihat Persatuan MARTECH, Ts. Gs. Khairul Naim Abd. Aziz dan Gs. Sharir Aizat Kamaruddin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi