Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Transformasi digital dalam pengurusan diabetes menjadi fokus utama webinar anjuran Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya menarik penyertaan meluas dalam kalangan ahli profesional kesihatan dari seluruh negara.

Seminar tersebut berjaya menghimpunkan sebanyak 154 orang peserta yang terdiri daripada pengamal perubatan dan ahli dietetik dari institusi kesihatan awam dan swasta serta pelajar yang mengambil bidang dietetik.

Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam mendampingi pesakit menggunakan pendekatan digital, selaras dengan perkembangan teknologi dalam sistem penjagaan kesihatan.

Pengisian utama webinar ialah sesi perkongsian oleh Ketua Jururawat, Klinik Kaunseling Diabetik, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Encik Umar Razak Razali yang berkongsikan pengalaman luas beliau dalam pengurusan diabetes sejak bergelar pendidik diabetes bertauliah pada tahun 2012.

Encik Umar Razak Razali menyampaikan perkongsian menerusi platform dalam talian mengenai pendekatan berkesan dalam pengurusan diabetes.

Beliau turut memperkenalkan pelbagai teknologi seperti Continuous Glucose Monitoring (CGM), pam insulin dan aplikasi kesihatan yang membantu pesakit memantau paras gula darah dengan lebih konsisten dan kurang invasif.

Teknologi ini menyediakan ruang kepada pesakit untuk memahami corak kawalan glukosa mereka secara lebih terperinci dan bertindak balas terhadap perubahan dengan lebih pantas serta yakin.

Dalam sesi tersebut, peserta dibimbing untuk memahami fungsi teknologi sebagai medium pemantauan kendiri yang lebih bersifat pencegahan dan sokongan jangka panjang.

Wakil ahli perubatan dari Klinik Ortopedik yang turut serta dalam webinar berkenaan menyatakan pandangan agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang, khususnya bagi menyesuaikan kaedah rawatan dengan kemajuan teknologi semasa.

Beberapa peserta turut mencadangkan agar siri webinar berikutnya memberikan tumpuan kepada aspek terapi pemakanan dan pendekatan klinikal yang lebih terkehadapan dalam pengurusan diabetes.

Peserta webinar terdiri daripada ahli profesional kesihatan dan ahli dietetik dari pelbagai institusi awam dan swasta.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi