Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Dalam usaha mendukung pengkomersialan universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) telah menerima kunjungan hormat delegasi syarikat Aafiyat Holdings Sdn. Bhd., semalam.
Delegasi Syarikat Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengarah Teknikal, YBhg. Dato’ Ir Ts. Dr. Badhrulhisham Abd Aziz telah disambut oleh Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), Puan Nur Syafiqah Rahim di Bangunan al-Farabi 3, UiTM Cawangan Perlis untuk bersama-sama membuat lawatan ke makmal sains sebelum menghadiri mesyuarat kolaborasi.
Menurut YBhg. Dato’ Ir Ts. Dr. Badhrulhisham Abd Aziz, Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. berperanan sebagai entiti induk yang melaksanakan tadbir urus korporat bagi beberapa anak syarikat seperti Olive House, Aafiyat Digital, Aafiyat Store dan Dulce Media.

Ujar beliau,
OHR Marketing Sdn. Bhd. menerajui pembekalan dan pengedaran produk makanan semula jadi dan organik yang berkualiti tinggi serta disokong oleh kajian saintifik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kunjungan delegasi Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. ke UiTM Cawangan Perlis adalah bertujuan untuk membincangkan potensi produk pertanian yang boleh dimanfaatkan dalam rawatan penyakit seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol.
Katanya,
Pihak kami berhasrat untuk meneroka potensi kerjasama dan pengkomersialan produk pertanian berasaskan herba yang berupaya menyumbang kepada rawatan penyakit tiga serangkai serta kesihatan mental.
Jelas beliau, projek pertanian ini berpotensi untuk dilaksanakan sebagai langkah untuk mengurangkan kos operasi dan pemasaran, memandangkan kedua-dua pihak memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.
Beliau turut memaklumkan bahawa Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. sedang mengenal pasti potensi tanaman pertanian seperti pegaga, belimbing buluh, nangka, zaitun serta pelbagai produk herba lain untuk diusahakan.

Sementara itu, Timbalan Rektor PJI, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail merakamkan penghargaan dan mengalu-alukan kunjungan serta kerjasama bersama-sama pihak Aafiyat Holdings Sdn. Bhd.
“Kolaborasi ini menjadi platform untuk meningkatkan permohonan geran industri, penganjuran program pertukaran penyelidik, penempatan pelajar latihan industri, penerbitan artikel yang berimpak tinggi serta memasarkan produk inovasi dan hasil penyelidikan untuk direalisasikan bersama,” kata beliau.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mempelawa pihak Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. untuk menandatangani perjanjian persefahaman bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan secara terancang dan selaras dengan matlamat yang dipersetujui bersama.

Puan Nur Syafiqah Rahim berkata, kehadiran delegasi Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. ke UiTM Cawangan Perlis telah menyemarakkan usaha pembangunan ekosistem inovasi dan modal insan di institusi tersebut.
Kata beliau,
Kolaborasi ini diyakini mampu memberikan nilai tambah dan manfaat dalam menyelesaikan masalah sebenar di lapangan, meningkatkan profesionalisme pensyarah dan memperkasakan aktiviti pemindahan pengetahuan dan teknologi, sekali gus akan melonjakkan nama universiti dan pihak industri ke peringkat global melalui pelbagai inisiatif yang dirancang.
Perbincangan dua hala itu turut menyentuh potensi pemasaran produk inovasi berasaskan mangga harum manis (Mangifera indica Linn) dan latok (Caulerpa lentillifera) yang mempunyai khasiat dan mineral yang tinggi untuk dikomersialkan sebagai produk kesihatan, kecantikan dan makanan serta berpotensi sebagai ikon inovasi UiTM Cawangan Perlis.
Dalam sesi pertemuan itu, delegasi Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. disertai oleh Ketua Jabatan Farmaseutikal, YBrs. Dr. Noorhaslina Hashim; Ketua Jabatan Inovasi dan Pembuatan, YBrs. Dr. Norfahana Abd Talib; Ketua Jabatan Projek Pembuatan, YBrs. Dr. Ahmad Noor Syimir Fizal; Pemangku Ketua Jabatan Jaminan Kualiti, YBrs. Dr. Norfaizah Mahmud; Penyelaras Prestasi dan Penyelidikan Produk Baharu, YBrs. Dr. Nurul Shafiqah Hashim; Eksekutif Penyelidik Farmaseutikal, YBrs. Dr. Musthahimah Muhamad; Eksekutif Penyelidik Farmaseutikal, Puan Nurin Nadhirah Mohd Zamani; Eksekutif Inovasi Penyelidikan, Puan Sharina Rose Radzalan; Eksekutif Jaminan Kualiti, Puan Nur Athirah Shukri dan Puan Iwani Ismail yang merupakan pelatih industri di syarikat ini.
Bagi pihak UiTM Cawangan Perlis pula diwakili oleh Mantan Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, YBrs. Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Bendahari, Puan Nur Faizahton Fisal; Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan, YBrs. Dr. Muhammad Faiz Pa’suya; Mantan Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, YBrs. Dr. Ang Lee Sin; Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Encik Mohd Saiful Akbar Mohamad Sahal; Pegawai Pertanian, Encik Mohd Syahir Ramli; Pegawai Sains, Encik Muhammad Hanis Ghazali; Mantan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad serta ahli penyelidik lain.