Diterbitkan pada 5 Mei 2025, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lebih 300 000 penyertaan Minggu Sains Negara (MSN) pada tahun ini menerusi lebih daripada 50 aktiviti dan pengisian menarik yang dirancang bagi memastikan impak program kekal berterusan, relevan dan menyeluruh kepada semua kumpulan sasaran.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang, MSN dianjurkan bagi melibatkan pelbagai pihak, termasuklah pelajar, pendidik, institusi pengajian tinggi, industri dan orang awam dalam memperkukuh pemahaman serta minat terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI).

YB Chang Lih Kang ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025.

“Penganjuran MSN pada tahun ini merupakan edisi kelapan sejak diperkenalkan pada tahun 2018 dan MOSTI mengekalkan pendekatan pelaksanaan MSN secara menyeluruh melalui pelaksanaan aktiviti secara fizikal di sebahagian besar lokasi di Borneo dan Semenanjung Malaysia bagi memastikan momentum kejayaan penganjuran MSN diteruskan pada tahun ini,” kata YB Chang Lih Kang ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025, semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan MSN adalah selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang memberikan penekanan kepada elemen daya cipta, iaitu satu daripada enam tonggak utama MADANI untuk kesiapsiagaan negara melalui peningkatan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi dan data raya.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan MADANI turut memandang serius mengenai bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) seiring dengan keperluan Malaysia untuk melahirkan lebih banyak tenaga profesional tempatan dalam bidang tersebut bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Ujar beliau,

MSN 2025 akan diteruskan melalui tiga kaedah, iaitu pelaksanaan Karnival MSN 2025 secara fizikal dan bersasar di enam zon, pelaksanaan kembara MSN ke sekolah luar bandar melalui program Kembara Sains Borneo dan Rehlah Sains serta inisiatif tajaan MSN yang menyokong agensi dan jabatan kerajaan, swasta dan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan program pembudayaan STI.

Dalam ucapannya juga, beliau memaklumkan bahawa MSN 2025 masih mengekalkan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi” pada tahun ini yang menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini.

Dalam hal ini, orang ramai disarankan untuk menyokong usaha MOSTI dalam mengarusperdanakan STI demi kesejahteraan rakyat melalui penganjuran MSN 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi