Diterbitkan pada 23 April 2025, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Palma merupakan tumbuhan monokotiledon yang boleh ditemukan di kawasan beriklim tropika, subtropika dan beriklim sederhana. Tumbuhan jenis palma boleh tumbuh di kebanyakan jenis habitat, dari hutan hujan tropika hinggalah kawasan gurun.

Arecaceae ialah nama botani bagi famili tumbuhan palma ini. Keunikan tumbuhan jenis palma terletak pada bentuk batang dan daun yang berpelepah, pelbagai bentuk dan saiz. Pada kebiasaannya, pokok palma tumbuh secara menegak dan mempunyai pelbagai bentuk serta berbeza saiz ketinggian. Namun demikian, terdapat juga pokok palma yang tumbuh dengan cara yang berbeza, iaitu melilit pada batang pokok lain seperti akar dan tumbuh rendah sahaja.

Antara tumbuhan dalam kumpulan palma yang terkenal di Malaysia termasuklah pokok kelapa, kelapa sawit, pinang, nipah, kabung, palas, salak dan sebagainya. Palma digunakan secara meluas di dunia sebagai sumber makanan, manisan, bahan binaan, bahan kraf tangan, perhiasan dan perkakasan. Selain itu, pokok palma juga digunakan dalam seni taman disebabkan oleh bentuknya yang menarik dan unik. Hal ini secara tidak langsung menjadikan pokok palma sebagai satu daripada tumbuhan yang penting dari segi ekonomi.

Kini, terdapat lebih kurang 202 genus dan 2600 spesies tumbuhan jenis palma yang telah direkodkan di seluruh dunia. Di Malaysia, terdapat lebih kurang 28 genus daripada famili Aracacea yang telah direkodkan dan Johannesteijsmannia ialah satu daripada genus berkenaan.

Johannesteijsmannia merujuk nama Johannes Elias Teijsmann (1808–1882). Beliau merupakan seorang ahli botani dari Belanda yang menemukan pokok palma ini buat pertama kalinya di pedalaman Sumatera, Indonesia. Johannes Elias Teijsmann juga pernah bertugas sebagai Direktor di Taman Botani Bogor pada tahun 1830 hingga tahun 1869.

Untuk mengenali tumbuhan Johannesteijsmannia adalah melalui saiz daunnya yang berpelepah besar dan berbentuk seperti berlian serta berduri pada margin sisi. Di bawah genus Johannesteijsmannia, terdapat empat spesies lain, iaitu Johannesteijsmannia altifrons, J. lanceolata, J. magnifica dan J. perakensis. Menariknya, keempat-empat spesies tersebut direkodkan tumbuh dan boleh ditemukan di Semenanjung Malaysia.

Johannesteijsmannia altifrons

Johannesteijsmannia altifrons yang turut dikenali sebagai diamond joey palm atau umbrella-leafed palm merupakan spesies yang boleh ditemukan di luar Semenanjung Malaysia seperti di Sumatera, Borneo dan Thailand. Tumbuhan ini mempunyai kira-kira 20 hingga 30 daun besar yang kepanjangannya hingga 3.5 meter dan lebarnya pula hingga 1.8 meter.

Kedudukannya yang rapat dan menegak seakan-akan membentuk seperti rupa mahkota. Tangkai daun yang dilapisi dengan duri kecil boleh mencapai hingga 2.5 meter panjang. Bahagian tepi daun pula bergerigi dan terdapat kira-kira 20 lipatan pada permukaan daun.

Selain daun yang besar dan bertangkai panjang, bentuk daun yang seakan-akan bentuk berlian menjadikan tumbuhan ini memiliki ciri yang unik untuk dikenal pasti dan dibezakan dengan spesies lain. Tumbuhan ini juga mempunyai bunga yang kecil dengan saiz kira-kira 4 milimeter hingga 5 milimeter, berwarna krim dan mengeluarkan bau kuat seperti susu yang telah masam. Buahnya berwarna coklat kemerahan, berbentuk bulat dan ditutupi dengan kulit yang keras dan berketuat serta boleh membesar dan mencapai diameter antara 4 sentimeter hingga 5 sentimeter.

Johannesteijsmannia altifrons.
Tangkai daun Johannesteijsmannia altifrons.
Buah Johannesteijsmannia altifrons. (Sumber: Ahmad Firdaus Zainuddin)

Johannesteijsmannia lanceolata

Johannesteijsmannia lanceolata merupakan spesies endemik di Semenanjung Malaysia. Nama tempatan bagi spesies ini ialah chica, manakala nama Inggerisnya ialah slender joey palm. Taburan populasi asal bagi spesies ini terhad di kawasan Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Tumbuhan ini hidup subur di kawasan berhampiran dengan sungai dan kawasan yang mempunyai saliran yang baik. Johannesteijsmannia lanceolata tumbuh secara tunggal dan tidak berkelompok. Pokok ini mempunyai batang, namun tidak kelihatan dengan jelas kerana biasanya tertimbus di bawah tanah dan mampu tumbuh hingga ketinggian 3.5 meter.

Berbeza daripada spesies lain dalam genus yang sama dan mempunyai bentuk seperti berlian, lebar daun J. lanceolata lebih kecil, iaitu kira-kira 30 sentimeter dan bentuk daunnya memanjang hingga 2.4 meter. Bunganya berwarna putih berkrim dan berbau harum. Bauan ini dapat menarik serangga tertentu seperti lalat, semut hitam dan penyengat yang dipercayai menjadi agen pendebungaan bagi pokok chica. Buahnya pula berwarna coklat kemerahan, berbentuk bulat dan ditutupi dengan kulit yang keras serta berketuat. Tumbuhan ini juga boleh membesar hingga diameter 3.4 sentimeter.

Johannesteijsmannia lanceolata.
Buah Johannesteijsmannia lanceolata.
Johannesteijsmannia lanceolata yang ditanam sebagai tanaman hiasan.

Johannesteijsmannia Magnifica

Johannesteijsmannia magnifica atau nama tempatannya, segalok juga merupakan spesies endemik di Semenanjung Malaysia. Taburan populasi spesies ini terhad ditemukan di kawasan hutan tanah pamah dipterokarpa di Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. Segalok terkenal dengan daunnya yang besar berbanding dengan tumbuhan lain, yakni boleh mencapai hingga kepanjangan 3 meter dan lebarnya 2 meter. Selain itu, daun J. magnifica juga mempunyai bentuk seperti berlian.

Pokok palma segalok mampu mencapai ketinggian hingga 5 meter. Batangnya pula tersembunyi di dalam tanah yang apabila dilihat sekali imbas akan kelihatan seakan-akan daun ini tumbuh keluar dari tanah.

Rupa Johannesteijsmannia magnifica hampir sama dengan Johannesteijsmannia altifrons. Bahagian yang membezakannya adalah pada bahagian bawah daunnya yang mempunyai bulu halus berwarna putih keperakan. Disebabkan oleh ciri unik ini, tumbuhan ini turut dikenali dengan nama silver joey palm.

Bunganya pula halus dan berwarna kuning cair serta mengeluarkan bau masam manis. Buahnya bulat berwarna coklat, ditutupi dengan kulit yang keras, berketuat serta boleh membesar hingga diameter 4 sentimeter.

Johannesteijsmannia magnifica tumbuh subur dalam persekitaran yang redup dan kawasan bersaliran yang baik. Sesetengah masyarakat orang asli mengumpul dan menyusun daun pokok ini untuk membuat atap rumah yang boleh bertahan untuk beberapa tahun. Rupa dan bentuknya yang menarik juga menjadikan pokok palma ini sebagai pilihan untuk menghiasi ruang landskap taman.

Johannesteijsmannia magnifica.
Jambak bunga Johannesteijsmannia magnifica. (Sumber: Dr. Chan Yoke Mui)
Bahagian belakang daun Johannesteijsmannia magnifica.

Johannesteijsmannia perakensis

Johannesteijsmannia perakensis merupakan satu lagi spesies endemik di Semenanjung Malaysia. Nama tempatan untuk spesies ini ialah daun payung kerana saiz daunnya lebar dan dapat memberikan teduhan kepada hidupan di bawahnya daripada terkena hujan ataupun panas. Taburan spesies ini adalah terhad dan hanya ditemukan di kawasan lembah dan lereng Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak dan Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kedah.

Palma Johannesteijsmannia perakensis berupaya membesar hingga mencapai ketinggian 5 meter. Ciri utama untuk mengenal pasti tumbuhan ini adalah melalui batang lurus yang ketara kelihatan di atas tanah berbanding dengan tiga spesies Johannesteijsmannia yang lain yang tertimbus di bawah tanah.

Bentuk daunnya juga sama seperti Johannesteijsmannia altifrons dan Johannesteijsmannia magnifica, iaitu berbentuk berlian dan bersaiz besar hingga mencapai 3 meter panjang dan 1.6 meter lebar. Johannesteijsmannia perakensis ditemukan tumbuh di kawasan yang lembap dan bersaliran baik, selain kawasan sekitar yang redup bagi mengelakkan pancaran cahaya matahari yang terik sepanjang hari.

Johannesteijsmannia perakensis.
Buah Johannesteijsmannia perakensis. (Sumber: Siti Eryani Suterisno)
Batang palma Johannesteijsmannia perakensis. (Sumber: Dr. Saw Leng Guan)
Jambak buah Johannesteijsmannia perakensis. (Sumber: Dr. Saw Leng Guan)

Secara keseluruhannya, tumbuhan Johannesteijsmannia bukan sekadar palma biasa tetapi menjadi simbol keunikan dan keindahan alam tropika yang istimewa serta tidak ternilai. Kehadiran Johannesteijsmannia berupaya membantu mengekalkan kestabilan tanah dan tahap lembapan di habitatnya serta untuk kesihatan ekosistem hutan hujan.

Selain daun yang memberikan manfaat kepada masyarakat orang asli, bunga dan buah yang menjadi sumber makanan kepada serangga dan hidupan liar serta daun yang reput dapat memperkaya nutrien di dalam tanah. Tumbuhan ini juga secara tidak langsung memberikan manfaat kepada organisma lain yang bergantung pada persekitaran yang kaya dengan zat nutrien.

Pertumbuhan Johannesteijsmannia yang perlahan dan kepelbagaian ciri isitmewanya juga menjadikan tumbuhan ini sebagai spesies penunjuk untuk kesihatan persekitaran. Hal ini dikatakan demikian kerana tumbuhan ini hidup subur di hutan yang tidak terganggu dan dipelihara dengan baik.

Untuk memastikan kelestarian khazanah alam kekal terpelihara, pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil langkah inisiatif untuk membuat pemuliharaan secara ex situ dengan menanam spesies Johannesteijsmannia di Taman Botani Kepong, FRIM. Tindakan pemuliharaan ini diambil untuk memastikan khazanah negara disimpan dan diuruskan dengan baik untuk dinikmati oleh generasi akan datang serta mengelakkan berlakunya kepupusan kepada spesies tersebut.

Mohd Shis Ibrahim (Penolong Pegawai Penyelidik) dan Suhaida Mustafa (Pegawai Penyelidik), Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi