Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah merasmikan projek di Ampang Jajar Sungai Muda daerah Kuala Muda, Kedah setelah infrastruktur mekanikal dan elektrikalnya dinaik taraf.
Peruntukan sebanyak RM7.5 juta disalurkan bagi menaik taraf infrastruktur projek berkenaan, termasuklah mengemas kini sistem pintu air di Ampang Jajar Sungai Muda.
Pintu air di Ampang Jajar Sungai Muda itu juga merupakan pintu air yang terbesar di Asia Tenggara yang memiliki 14 pintu untuk pengoperasian dan dilengkapi dengan pintu navigasi bagi membolehkan bot menyusuri Sungai Muda.
Inisiatif yang dilakukan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan pengurusan sumber air dan kawalan banjir demi kesejahteraan rakyat di sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Menurut YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, lebih daripada 250 000 orang penduduk bergantung pada sungai tersebut untuk memenuhi keperluan air harian.
Ujar beliau,
Sebanyak 80 peratus penduduk di Pulau Pinang turut mendapat manfaat daripada air yang disalurkan dari Sungai Muda dengan lebih 1000 juta liter air dipam pada setiap hari ke loji rawatan air di Seberang Perai.
Tambah beliau,
Keadaan ini bukan sahaja memenuhi keperluan air domestik, malah menyokong sektor industri dan pertanian yang merupakan tulang belakang ekonomi di negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau juga menyatakan bahawa pemeriksaan berkala dan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal setelah berusia lebih daripada 15 tahun perlu dipandang serius dan dilaksanakan bagi memastikan komponen mekanikal dan elektrikal dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan serta berada dalam keadaan selamat.
Ucap beliau,
Tahniah kepada semua yang terlibat kerana berjaya menyiapkan projek ini, terutamanya seluruh pasukan Operasi Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) dan pihak kontraktor dari syarikat Synergy Prestige Sdn. Bhd. atas kerjasama baik yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Rozman Mohamad ketika berucap dalam majlis penyerahan projek itu berkata, Ampang Jajar Sungai Muda telah beroperasi pada tahun 2007 dan mempunyai peranan yang sangat penting dalam menjalankan fungsi sebagai sistem tebatan banjir dan nadi utama dalam pengurusan sumber air bagi kawasan selatan Kedah dan Seberang Perai, Pulau Pinang.
Menurutnya,
Kerja menaik taraf komponen mekanikal dan elektrikal, iaitu pintu air serta alat angkat pintu air di Ampang Jajar telah mula dilakukan pada 31 Julai 2023 dan siap pada 30 September 2024.
Sejak projek berkenaan dinaik taraf, sebanyak 4278 orang penduduk di Kuala Muda bebas daripada risiko bencana banjir dan lebih daripada satu juta orang pengguna dibekalkan dengan bekalan air yang lebih konsisten.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kedah, YB Mohamad Yusoff Zakaria; Setiausaha Bahagian Pembangunan PETRA, Amisam Ismail; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir. Ts. Hapida Ghazali; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin Budarto serta Pengarah Operasi PLSM selaku tuan rumah pelaksana projek itu, Ir. Asnol Adzhan Abd. Manap.