Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Program Blended Mobility Malaysia 2025 yang bertemakan Innovative Solutions: SDGs and Sustainability in Malaysia sebagai wadah untuk mencetuskan idea inovatif dalam menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Program selama 10 hari ini melibatkan kerjasama strategik antara tiga universiti dari Malaysia, Jepun dan Amerika Syarikat dengan penyertaan sebanyak 21 mahasiswa dari Kansai University (Jepun), University of North Carolina at Chapel Hill (Amerika Syarikat) serta UKM selaku tuan rumah.

Melalui program ini, peserta berpeluang meneroka dan memahami dengan lebih mendalam mengenai SDG serta mencari penyelesaian inovatif bagi SDG ketujuh (Tenaga Bersih dan Berpatutan), SDG ke-11 (Bandar dan Komuniti Lestari) serta SDG ke-13 (Tindakan Iklim) melalui kajian yang dilakukan berdasarkan konteks Malaysia sebagai negara membangun sambil membandingkan pendekatan yang diambil oleh Jepun dan Amerika Syarikat.

Antara aktiviti utama dalam program ini termasuklah lawatan ke perkampungan Orang Asli Kachau Luar, Semenyih di bawah pimpinan Profesor Madya Dr. Doris Padmini Selvaratnam dari UKM yang memperlihatkan realiti kehidupan luar bandar dan cabaran pendidikan serta kesihatan.

Peserta program di Kampung Orang Asli Kachau Luar, Semenyih.

“Kesedaran terhadap masyarakat orang asli adalah asas penting dalam usaha kita untuk melestarikan budaya dan warisan mereka dan ini adalah langkah kritikal yang selaras dengan usaha kita mencapai SDG ke-11,” jelas Profesor Madya Dr. Doris Padmini Selvaratnam.

Peserta juga mendengar siri kuliah dan bengkel yang merangkumi topik SDG, komunikasi, penyampaian umum dan bahasa Melayu serta mendapat peluang berinteraksi dalam persekitaran silang budaya dan mengetengahkan penyelesaian inovatif.

Sesi bicara tuntas yang membentangkan idea inovasi sejajar dengan SDG.

Sebagai pengisian tambahan, UKM turut menjemput penceramah jemputan dari PETRONAS, Encik Syahrul Fitri Mohamed dari Centre of Corporate Sustainability, yang berkongsikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dalam sesi bertajuk Empowering Communities Through Renewable Energy Initiatives.

Selain itu, lawatan ke Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut memberikan inspirasi kepada peserta dalam menyumbang ke arah pembangunan lestari.

Sesi penerangan berkenaan usaha kelestarian yang bertapak di MGTC oleh Encik Adib Kaman.

Acara tambahan termasuklah berbuka puasa di Masjid UKM, lawatan ke Pusat Kebudayaan UKM serta bengkel tari dan muzik yang mengetengahkan tarian zapin dan alat muzik caklempong.

Sesi bengkel tari dan bengkel muzik yang dipimpin oleh Pusat Kebudayaan UKM.

Pada hari terakhir, setiap peserta membentangkan dapatan dan penyelesaian inovatif merekadalam sesi yang dinilai oleh panel juri.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM yang menjalankan fungsi Naib Canselor, YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor juga  telah hadir bagi menyempurnakan majlis penutup program.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi