Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenjualan produk, khususnya kosmetik secara dalam talian semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna di Malaysia. Pada masa ini, pengguna mempunyai akses yang mudah kepada pelbagai jenis produk kosmetik dari seluruh dunia melalui platform digital yang sentiasa berkembang. Kemudahan ini juga telah mengubah landskap peruncitan industri kecantikan dengan ketara.
Walaupun penjualan kosmetik secara dalam talian menawarkan kemudahan dan pelbagai pilihan yang luas kepada pengguna, namun terdapat juga risiko keselamatan yang seharusnya diberikan perhatian yang serius. Para pengguna perlu berwaspada dan peka terhadap isu keselamatan yang boleh timbul daripada pembelian dalam talian.
Satu daripada isu utama yang perlu diberikan perhatian adalah berkenaan penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi. Produk ini tidak melalui proses penilaian dan kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kerana boleh mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan pengguna dalam jangka masa pendek mahupun panjang.
Senario Penjualan Kosmetik Secara dalam Talian di Malaysia
Penjualan secara dalam talian telah membuka dimensi baharu dalam industri kosmetik dan memudahkan pengguna membeli produk kecantikan dengan cepat dan efisien. Kaedah ini kini menjadi pilihan utama kebanyakan pengguna kerana keupayaannya menyediakan akses kepada pelbagai jenama kosmetik dari seluruh dunia tanpa sempadan geografi.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong peningkatan permintaan kosmetik dalam talian di Malaysia. Kemudahan akses merupakan kelebihan utama apabila pengguna tidak perlu lagi mengunjungi kedai fizikal. Sebaliknya, mereka boleh membuat pembelian daripada rumah mereka. Selain itu, platform dalam talian menawarkan kepelbagaian produk yang sukar ditemukan di kedai konvensional, harga yang lebih kompetitif serta pelbagai tawaran diskaun yang menarik minat pengguna.
Selain itu, kaedah pemasaran yang semakin kreatif, khususnya penstriman langsung telah merevolusikan cara penjual mempromosikan produk kosmetik. Melalui penstriman langsung, penjual boleh melaksanakan strategi pemasaran seperti gimik harga dan demonstrasi produk secara interaktif dan menarik. Namun begitu, pendekatan ini sering mendorong pembelian impulsif dalam kalangan pengguna yang terpengaruh dengan promosi tanpa meneliti aspek keselamatan produk terlebih dahulu.
Keperluan Notifikasi Produk Kosmetik
Di Malaysia, undang-undang menetapkan bahawa setiap produk kosmetik yang dipasarkan kepada pengguna perlu mendapat notifikasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Notifikasi produk kosmetik merupakan proses pengisytiharan maklumat produk oleh syarikat pengeluar sebelum memasarkan produk tersebut. Proses ini adalah untuk memastikan syarikat pengeluar mengambil tanggungjawab untuk menjamin keselamatan dan kualiti produk serta memastikan produk bebas daripada bahan berbahaya.
Walau bagaimanapun, fenomena yang membimbangkan adalah sebilangan produk kosmetik yang dijual secara dalam talian di Malaysia didapati tidak mempunyai notifikasi yang sah. Keadaan ini meningkatkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna yang membeli dan menggunakan produk tersebut tanpa mengetahui kesan buruk yang mungkin berlaku.
Produk kosmetik yang tidak bernotifikasi sering mengandungi bahan-bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna. Antara bahan kimia atau ubat terkawal yang dilarang atau dikawal penggunaannya dalam produk kosmetik termasuklah:
Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi merkuri boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan reaksi alahan, kerosakan buah pinggang, gangguan sistem saraf serta kemerosotan kognitif. Wanita hamil yang menggunakan produk kosmetik yang dicemari merkuri pula berisiko menyebabkan kecacatan pada bayi dan keguguran janin.
Bahan ini boleh mengakibatkan kerengsaan dan kemerahan kulit, reaksi hipersensitiviti serta keadaan yang dikenali sebagai okronosis, iaitu keadaan yang menyebabkan kulit menjadi gelap dan menebal. Pendedahan berpanjangan kepada sinaran ultraungu pula meningkatkan risiko kanser kulit.
Tretinoin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan, ketidakselesaan, rasa pedih dan pengelupasan kulit serta meningkatkan sensitiviti kulit terhadap cahaya matahari. Bahan ini juga bersifat teratogenik yang berpotensi membahayakan janin.
Penggunaan steroid dalam produk kosmetik tidak bernotifikasi boleh menyebabkan penipisan kulit, peningkatan risiko jangkitan kulit dan kerosakan fungsi organ utama seperti buah pinggang dan jantung apabila digunakan untuk jangka masa panjang.
Bahan antikulat dalam produk kosmetik berisiko menyebabkan kerengsaan kulit, ruam dan melemahkan sistem imun badan.
Peranan Penjual Produk Kosmetik dalam Talian dan Tanggungjawab Pengguna
Penjual yang berhasrat untuk memasarkan produk kosmetik di Malaysia mempunyai tanggungjawab undang-undang yang perlu dipenuhi. Mereka perlu memastikan bahawa setiap produk kosmetik yang dipasarkan telah mendapat notifikasi yang sah daripada KKM. Perkara ini merupakan tanggungjawab utama penjual untuk memastikan bahawa produk yang dijual mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Dari perspektif perundangan, Peraturan 18A dalam Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 telah menggariskan dengan jelas bahawa tindakan menjual produk kosmetik yang tidak bernotifikasi merupakan satu kesalahan undang-undang. Individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama. Sekiranya didapati bersalah, hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 adalah seperti berikut:
Nasihat kepada Orang Awam
Orang awam, khususnya pengguna yang ingin membeli produk kosmetik secara dalam talian perlu mengambil langkah berwaspada dan sentiasa menyemak status notifikasi produk sebelum membuat sebarang pembelian. Prosedur semakan boleh dilakukan dengan mudah menerusi fungsi “Product Search” di laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status”.
Pengguna turut dinasihatkan agar mengelak daripada membeli atau menggunakan produk kosmetik yang menjanjikan kesan yang terlalu cepat atau luar biasa. Produk sedemikian berkemungkinan besar mengandungi bahan berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan. Pada kebiasaannya, penjual menggunakan strategi pemasaran yang agresif untuk menarik perhatian dan mempengaruhi orang ramai dengan tuntutan berlebihan mengenai keberkesanan produk. Tuntutan ini sering disokong oleh testimoni yang tidak mempunyai asas saintifik atau bukti klinikal yang kukuh.
Secara keseluruhannya, penjualan produk kosmetik secara dalam talian sememangnya memberikan kemudahan dan kefleksibelan kepada pengguna, namun aspek keselamatan seharusnya menjadi keutamaan. Produk kosmetik yang tidak bernotifikasi mempunyai risiko yang tinggi untuk menyebabkan kesan mudarat kepada pengguna, terutamanya apabila kandungannya dicampurkan dengan bahan-bahan berbahaya.
Dalam konteks ini, penjual mempunyai tanggungjawab perundangan dan etika untuk memastikan produk yang dipasarkan mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pada masa yang sama, pengguna disarankan agar lebih berhati-hati dan proaktif dalam menjalankan usaha wajar sebelum membeli mana-mana produk kosmetik yang dijual secara dalam talian.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).