Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa bersama-sama Universiti Bunkyo Gakuin (BGU), Jepun melalui Program Mobiliti Inbound.

Dalam program ini, sebanyak 14 pelajar dari BGU yang terdiri daripada sembilan pelajar fisioterapi dan lima pelajar daripada program terapi cara kerja berpeluang merasai suasana pembelajaran dan budaya di Malaysia selama dua minggu.

Sepanjang keberadaan mereka di UKM, pelbagai aktiviti telah disusun seperti sesi perkongsian ilmu, bengkel akademik serta lawatan ke hospital swasta, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HPKK) dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan bidang pemulihan.

Sesi lawatan akademik pelajar BGU ke HPKK.

Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada kemudahan pemulihan dan teknologi moden di negara ini yang bukan sahaja memperkaya pengetahuan mereka, malah membolehkan mereka membuat perbandingan menyeluruh dengan sistem yang diamalkan di Jepun.

Sebagai sebahagian daripada program, satu sesi “Meet and Greet” telah diadakan bagi menyambut para pelajar dan wakil pensyarah dari BGU yang turut dihadiri oleh Dr. Afifah Mohamad selaku Penyelaras Antarabangsa, Fakulti Sains Kesihatan, UKM.

Sesi “Meet and Greet” bersama-sama Penyelaras Antarabangsa, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Dr. Afifah Mohamad.

Beliau menekankan bahawa pertukaran ilmu dan pengalaman memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua universiti.

“Selain itu, inisiatif ini juga membantu meningkatkan kefahaman silang budaya, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang akademik dan penyelidikan,” hurainya lagi.

Pada penghujung program, kumpulan pelajar ini turut berkongsi pengalaman mereka dalam sesi refleksi yang membincangkan perbezaan sistem pembelajaran, amalan pemulihan serta budaya kerja di kedua-dua negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi