Diterbitkan pada 1 Mac 2025, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Perkhidmatan Rehabilitasi dan Kesihatan (SIHAT@UKM), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Continuous Health Sciences Education: Geriatric Case Sharing sebagai platform bagi pegawai klinikal berkongsi kepakaran dalam pengurusan pesakit warga emas.

SIHAT@UKM mempunyai tujuh klinik perkhidmatan, iaitu Klinik Audiologi, Klinik Optometri, Klinik Sains Pertuturan, Klinik Psikologi, Klinik Terapi Cara Kerja, Klinik Fisioterapi dan Klinik Dietetik yang memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira umur.

Sesi perkongsian ini diadakan bagi memastikan pegawai klinikal sentiasa ke hadapan dalam pengurusan kes geriatrik serta meningkatkan pengetahuan mereka untuk diaplikasikan dalam amalan klinikal.

Selain itu, sesi ini turut menjadi platform bagi pegawai klinikal berkongsi kes yang menarik serta menggalakkan penulisan kajian kes multidisiplin yang boleh diterbitkan dalam Buletin Sains Kesihatan dan platform penerbitan lain yang sesuai.

Dr. Muhammad Safwan Ahmad Fadzil selaku penceramah merangkap Ketua Editor Buletin Sains Kesihatan menekankan kepentingan motivasi dalam penulisan artikel kerana hal tersebut bukan menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pegawai klinikal.

Dr. Muhammad Safwan Ahmad Fadzil menyampaikan sesi perkongsian bertajuk “Penulisan Artikel Kajian Kes dalam Buletin Sains Kesihatan” bagi menggalakkan pegawai klinikal mendokumentasikan kes menarik untuk penerbitan.

Beliau berkata, “Kes yang menarik dan unik seharusnya didokumentasikan dalam bentuk artikel kerana tindakan tersebut dapat memberikan perspektif baharu serta membantu meningkatkan mutu pengurusan pesakit.”

Sesi ini berlangsung selama satu hari dengan ceramah oleh Dr. Muhammad Safwan Ahmad Fadzil dan diikuti perbincangan kumpulan mengenai pengurusan multidisiplin kes geriatrik serta pembentangan yang dikendalikan oleh Dr. Nurul Huda Razalli.

Sebanyak 30 pegawai klinikal telah menyertai sesi ini yang membuka peluang untuk menghasilkan penulisan kajian kes.

Para peserta tekun mendengar perkongsian Dr. Muhammad Safwan Ahmad Fadzil mengenai penulisan artikel kajian kes dalam bidang kesihatan.

Penulisan tersebut boleh diterbitkan dalam Buletin Sains Kesihatan sebagai permulaan sebelum dikembangkan ke dalam jurnal berimpak tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi