Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 1 Mac 2025, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari (T&CM) dalam bidang amalan perubatan yang diiktiraf wajib berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut KKM, individu yang didapati melanggar peruntukan Akta 775 boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman lain yang termaktub dalam akta tersebut.

Terdapat tujuh bidang amalan perubatan yang diiktiraf di bawah akta ini, iaitu perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

Hal ini berikutan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) yang mengawal selia perkhidmatan T&CM dalam negara demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat berkuat kuasa sepenuhnya pada hari ini.

Jelas KKM menerusi kenyataannya semalam, penguatkuasaan akta berkenaan yang memasuki fasa ketiga pada 1 Ogos tahun lalu telah tamat tempoh peralihannya semalam.

Tambah KKM lagi, perkara ini bagi memastikan setiap pengamal perubatan memenuhi kriteria kelayakan yang diiktiraf dan mematuhi piawaian amalan mandatori yang ditetapkan.

Dengan adanya pengawalseliaan ini, KKM dapat melindungi pengguna daripada risiko perkhidmatan T&CM yang tidak selamat atau tidak berkesan; memastikan pengamal T&CM dalam bidang amalan diiktiraf menjalankan amalan berasaskan kompetensi dan standard yang ditetapkan serta menggalakkan pembangunan industri T&CM yang lebih berstruktur dan berintegriti.

“Sejak penguatkuasaan Akta 775 secara berfasa bermula 1 Ogos 2016, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, KKM giat melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran kepada pengamal perubatan dan orang awam,” ujarnya.

Jelas KKM, pelbagai platform seperti pameran, ceramah, wawancara media dan media sosial digunakan untuk melakukan hebahan perkara tersebut, selain lawatan pendidikan di lapangan yang memperkukuh hubungan langsung dengan pengamal sejak tahun 2010.

“Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 40 096 orang pengamal menghadiri sesi taklimat mengenai keperluan pendaftaran dan pematuhan akta,” katanya.

Pendaftaran pengamal T&CM dalam bidang amalan perubatan yang diiktiraf telah bermula sejak 15 Mac 2021, namun tempoh peralihan diperuntukkan untuk aspek ini hingga 28 Februari 2025.

Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 14 047 orang pengamal telah mendaftar di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari.

KKM menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 775 adalah untuk memastikan T&CM diamalkan secara selamat dan profesional.

Di samping itu, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan dan rawatan T&CM dalam bidang amalan yang diiktiraf dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal yang berdaftar.

“KKM komited untuk terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara melalui pematuhan kepada keperluan undang-undang dan peraturan serta memenuhi keperluan rakyat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan adalah selamat dan beretika,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi